Ziarah kubur di luar musim perayaan dibenarkan – MKN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktiviti ziarah kubur di luar musim perayaan adalah dibenarkan tertakluk pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, demikian menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

Beliau berkata larangan aktiviti itu yang diumumkan MKN sebelum ini, hanya tertakluk pada hari tertentu seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja.

- Advertisement -

Jelasnya, aktiviti yang menjadi tradisi pada hari perayaaan berkenaan dilarang ketika itu kerana berdasarkan penilainan risiko jangkitan Covid-19, kawasan perkuburan menjadi tumpuan awam yang boleh mencetuskan penularan wabak.

“Dalam keadaan di luar waktu perayaan sebenarnya tidak menjadi masalah dan ia dibenarkan (untuk menziarah), namun setiap individu yang menziarah tertakluk kepada pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Yang penting, aktiviti itu mestilah tertakluk dengan SOP am yang diterbitkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Bagaimanapun katanya, kebenaran untuk masuk ke kawasan kubur dan waktu ziarah adalah bergantung kepada pihak pengurusan tanah perkuburan.

Mengulas mengenai dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan melanggar SOP dengan menziarahi kubur ibu bapanya di Temerloh, Pahang hari ini, Rodzi berkata ia tidak tepat kerana Perdana Menteri mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Dakwaan terhadap Ismail Sabri muncul selepas gambar beliau menziarah pusara kedua orang tuanya tular di media sosial. – BERNAMA

- Advertisement -