Kewajipan berpolitik dalam Islam

- Advertisement -

KEWAJIPAN berpolitik yang mewujudkan pemerintahan negara dalam kehidupan manusia adalah ketetapan Allah SWT kepada makhluk manusia yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa lagi. Perkara ini termasuk dalam perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi oleh semua hamba-Nya, sehingga sudah tiada pilihan lain lagi. Semua ketetapan Allah SWT membawa hikmah dan rahmat kepada seluruh alam. Termasuklah ketetapan yang dinyatakan dalam firman-Nya:

﴿وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ٥٦ مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ٥٧ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ٥٨﴾

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (56); Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. (57); Sesungguhnya Allah itu Dia sahajalah yang Memberikan rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia sahajalah) yang Mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Tuhan yang Maha Kuat kekuasaan-Nya. (58).” (Surah al-Zariyat: 56-58)

Ayat di atas menegaskan bahawa hubungan semua makhluk ciptaan Allah SWT, termasuklah manusia dan jin merupakan hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Hal yang tersebut, sama sekali tidak boleh disamakan sepertimana hubungan antara rakyat dengan pemimpinnya dan lain-lain contoh.

- Advertisement -

Maka, seluruh makhluk wajib taat atau patuh secara mutlak kepada Allah SWT tanpa ada pilihan yang lain lagi. Perkara ini ditegaskan kepada orang-orang yang beriman dan juga menerima hakikat ini, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا٣٦﴾

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak untuk memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Allah SWT telah menegaskan suatu ketetapan dan tugas manusia sebagai makhluk yang diciptakan-Nya, berkenaan kedudukan mereka di muka bumi yang diisytiharkan kepada para malaikat, makhluk yang paling taat kepada Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu, orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kalian tidak ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Para malaikat adalah makhluk suci yang paling taat kepada Allah SWT, dan sifatnya tidak sekali-kali menderhakai-Nya. Firman Allah SWT:

﴿…لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ٦﴾

“…Mereka tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim: 6)

Para malaikat berlumba-lumba menunaikan perintah Allah SWT, lalu diberitahu kepada mereka bahawa tugas beribadat di muka bumi itu bukan sahaja melakukan ibadat dengan hanya bertasbih dan bertahmid. Malahan, termasuklah juga tugas memakmurkan bumi dengan menggunakan dan mentadbir segala sumber. Perkara ini bertepatan dengan penciptaan manusia daripada tanah dan bahannya yang memenuhi fitrah makhluk manusia yang ditugaskan memakmurkan bumi itu. Firman Allah SWT:

﴿…هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ  إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ٦١﴾

“…Dialah yang menciptakan kalian daripada bumi (tanah), dan menjadikan kalian bagi memakmurkannya. Oleh itu, mintalah keampunan kepada Allah, kemudian bertaubatlah (kembalilah) kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya), lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-hamba-Nya.” (Surah Hud: 61)

Peranan untuk memakmurkan bumi mewajibkan adanya khilafah atau siasah, bererti politik pemerintahan negara yang berkuasa bagi mengawasi dan mentadbir semua kegiatannya dengan berpandukan undang-undang dan segala peraturan. Justeru, di sinilah terletak peranan manusia mengikut ketetapan Allah SWT yang menciptakannya dengan fitrah mempunyai jasad, roh, akal, nafsu (keinginan), diri, keluarga dan bermasyarakat.

Setelah dinyatakan penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam AS dan dinyatakan sifatnya yang berbeza dengan malaikat, maka Allah SWT berfirman agar semua makhluk menerima hakikat peranan manusia mengikut ketetapan-Nya. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ٣٤﴾

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah (beri penghormatan) kepada Adam.’ Maka, mereka semuanya sujud memberikan penghormatan melainkan Iblis; dia enggan dan takabbur, dan adalah dia termasuk daripada golongan yang kafir.” (Surah al-Baqarah: 34)

Sujud dalam ayat di atas dengan makna beribadat (memperhambakan diri) kepada Allah SWT dan menerima hakikat peranan manusia di muka bumi, bukan sujud untuk beribadat kepada Adam AS. Adapun Iblis pula, menolak ketetapan Allah SWT kerana merasa takabbur dengan kejadian dirinya dan kuatnya beribadat sebelum Adam AS diciptakan. Maka, sesiapa yang menolak ketetapan wujudnya politik dalam Islam, bererti mereka bersama dengan keingkaran Iblis terhadap ketetapan Allah SWT.

Allah SWT melantik para Rasul AS daripada kalangan manusia untuk berdakwah mengikuti petunjuk Allah SWT yang dinamakan Islam secara sempurna, dengan peranan manusia untuk beribadat bersama politik yang menjadi sebahagian daripada ajarannya. Inilah peranan semua para Rasul AS iaitu memimpin manusia, sejak Nabi Adam AS sehinggalah Nabi Muhammad SAW. Hal ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT:

﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ  فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Pada mulanya, manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan, dan (sebenarnya) tiada yang berselisih itu melainkan orang-orang yang telah diberikan kepada mereka Kitab-kitab suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri). Maka, Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).” (Surah al-Baqarah: 213)

Para Rasul menjadi pemimpin dalam semua urusan kehidupan manusia di dunia, pada Hari Akhirat nanti semuanya akan dihisab. Adam AS menjadi Rasul pertama memimpin tanpa cabaran yang besar kerana agama tauhid pada ketika itu masih menjadi pegangan semua manusia.

Mengikut pendapat Ibn ‘Abbas RA, setelah sepuluh abad kewafatan Adam AS, manusia mula menyeleweng daripada agama tauhid dan berlaku syirik. Manusia mula menyembah tuhan selain daripada Allah SWT, dan melampaui batas dengan mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Khususnya dalam urusan kehidupan dan perkara di luar kemampuan akal manusia serta sempadan kajian mereka. Oleh itu, Allah SWT mengutuskan Rasul-Nya, Nabi Nuh AS sebagai nabi pertama yang menghadapi cabaran dakwah.

Hal ini dinyatakan sebagaimana firman Allah SWT:

﴿لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ٥٩ قَالَ الْمَلَأُ مِنْ قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ٦٠ قَالَ يَا قَوْمِ لَيْسَ بِي ضَلَالَةٌ وَلَكِنِّي رَسُولٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ٦١ أُبَلِّغُكُمْ رِسَالَاتِ رَبِّي وَأَنْصَحُ لَكُمْ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ٦٢﴾

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkata kepada kaumnya: ‘Wahai kaumku! Sembahlah kalian akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kalian selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bimbang, kalian akan ditimpa azab pada hari yang besar (Hari Kiamat).’ (59); Ketua-ketua daripada kalangan kaumnya berkata: ‘Sesungguhnya kami melihatmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata.’ (60); Nabi Nuh menjawab: ‘Wahai kaumku! Tiada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.’ (61); ‘(Tugasku) adalah untuk menyampaikan kepada kalian perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberikan nasihat kepada kalian, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) daripada Allah akan apa yang kalian tidak mengetahuinya.’ (62).” (Surah al-A‘raf: 59-62)

Nuh AS bukan sahaja berdakwah menghadapi orang ramai bagi membetulkan aqidah mereka, pada masa yang sama turut menghadapi tentangan para pemimpin yang dinamakan dengan al-Mala’ yang memerintah kaumnya. Keadaan ini sekali gus menunjukkan Nuh AS berdakwah dan berpolitik tanpa memisahkan antara kedua-duanya.

Perjuangan Baginda AS memakan masa selama 950 tahun berdepan dengan para pemimpin yang zalim dan rakyat yang menjadi pengikutnya yang sesat. Dakwah Nuh AS berakhir, apabila diberikan kemenangan melalui taufan yang menenggelamkan mereka yang menentangnya. Seterusnya, diikuti dengan dakwah oleh para rasul selepasnya yang menghadapi rakyat dan golongan al-Mala’.

Adapun Nabi Ibrahim AS pula menghadapi Raja Namrud yang memerintah kerajaan Babylon, sebuah kuasa besar dunia pada zaman itu. Firman Allah SWT:

﴿أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٢٥٨﴾

“Apakah kamu tidak memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: ‘Tuhanku ialah Tuhan yang Menghidupkan dan Mematikan.’ Orang itu berkata: ‘Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.’ Nabi Ibrahim berkata lagi: ‘Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari arah timur, oleh itu terbitkanlah ia dari arah barat?’ Maka, tercenganglah orang kafir itu. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah: 258)

Raja Namrud adalah berkuasa mutlak (pemerintah diktator) yang zalim dan juga berlagak seperti tuhan, di samping menyembah patung dan berhala yang dipuja. Ibrahim AS menentang Raja namrud dengan hujah yang dapat mengalahkannya, sehingga Baginda AS dihukum dengan kejam dan dihalau. Sehinggalah Ibrahim AS terpaksa berhijrah ke Palestin dan dipilih daripada zuriatnya para rasul serta para anbiya’ AS dalam kalangan Bani Isra’il yang diakhiri dengan Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW.

Antaranya, Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang menghadapi seorang raja paling zalim dalam sejarah manusia iaitu Firaun dan kemudiannya dijanjikan kemenangan oleh Allah SWT. Perkara ini dinyatakan melalui firman-Nya:

﴿نَتْلُو عَلَيْكَ مِنْ نَبَإِ مُوسَى وَفِرْعَوْنَ بِالْحَقِّ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ٣ إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ  إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ٤ وَنُرِيدُ أَنْ نَمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ٥﴾

“Kami membacakan kepadamu sebahagian daripada kisah Musa dan Firaun dengan benar untuk orang-orang yang beriman. (3); Sesungguhnya Firaun telah melakukan sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas satu golongan daripada kalangan mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup. Sesungguhnya Firaun termasuk dalam kalangan orang-orang yang melakukan kerosakan. (4); Dan Kami hendak memberikan kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin serta menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (memerintah negara yang mentadbir buminya). (5).” (Surah al-Qasas: 3-5)

Setelah Allah SWT membinasakan Firaun, Musa AS dan Harun AS diperintahkan agar berhijrah ke Palestin yang telah dibuka oleh Ibrahim AS. Musa AS dan Harun AS diperintahkan agar berjihad membebaskan Palestin daripada kaum Jabbarin bagi menegakkan negara yang beramal dengan Kitab Taurat.

Akan tetapi, Allah SWT menyesatkan Bani Isra’il di padang pasir selama 40 tahun kerana mereka tidak mahu berjihad dan tidak percaya kepada janji kemenangan daripada Allah SWT bahawa akan dilantik dalam kalangan mereka para pemimpin. Sehingga Harun AS dan Musa AS diwafatkan ketika mereka berdua dalam perjalanan.

Kemuncak kemenangan berlaku setelah lahirnya generasi baharu yang berjihad, apabila Nabi Daud AS menjadi khalifah dan Nabi Sulaiman AS menjadi raja yang memerintah negara dengan adil bersama Kitab Allah SWT. Hal ini menunjukkan betapa perjuangan para Rasul itu berdakwah dan berpolitik tanpa berpisah daripada agama Allah SWT melalui panduan kitab-Nya.

Bani Isra’il pada zaman mutakhir hanya membaca kitab Taurat semata-mata untuk beribadat sahaja, tanpa melaksanakan politik bagi menegakkan negara yang melaksanakan hukum Allah SWT. Allah SWT menceritakan keadaan mereka melalui firman-Nya:

﴿مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ  وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥﴾

“Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang dipikulkan (dipertanggungjawab dan ditugaskan melaksanakan hukum) Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakannya, keadaan itu sama seperti keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal (sedang mereka tidak mengetahui kandungannya). Amatlah buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah; dan (ingatlah) Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu‘ah: 5)

Rasulullah SAW menolak tawaran para pemimpin Makkah yang ingin melantiknya menjadi raja atau pemimpin kerana agama yang boleh diamalkan sekadar beribadat, berdoa dan bertasbih. Namun, Baginda SAW dihalang daripada mendaulatkan Islam yang berkuasa politik memerintah negara.

Sehinggalah Baginda SAW diperintahkan agar berhijrah ke Madinah, apabila para pemimpin di sana memeluk Islam. Pada masa yang sama, mereka sudah berbaiah untuk menegakkan negara yang mendaulatkan Islam dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum, berkonsepkan adil kepada semua dan tanpa paksaan beragama.

Al-Quran menunjukan suatu garis panduan yang nyata dalam menegaskan prinsip, konsep dan sistem politik melalui firman Allah SWT:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ  فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa dan mengendalikan urusan) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya). (59).” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Prinsip beriman kepada Allah SWT, Rasul dan Hari Akhirat ialah syarat terpenting agar politk itu diterima oleh Allah SWT. Adapun kesempurnaannya pula diikuti dengan berkonsepkan adil kepada semua.  

Hak pemimpin pula tidak bersifat mutlak seperti dictatorship atau kononnya bertuhankan rakyat seperti demokrasi Barat. Namun, Islam menerima konsep demokrasi dengan menetapkan hak untuk rakyat. Walau bagaimanapun, sering kali kemenangan Islam melalui jalan demokrasi tidak dihormati.

Pendekatan demokrasi dalam Islam sememangnya berbeza kerana mempunyai kaitan dengan agama iaitu sifat beriman dan budiman, atau sifat iman dan taqwa yang dijanjikan keberkatan oleh Allah SWT. Hal ini disebutkan sebagaimana firman-Nya:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦﴾

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A‘raf: 96)

Maka, keadilan dan kebaikan dalam demokrasi semata-mata hanyalah kosong dan palsu tanpa keimanan, ketaqwaan dan keikhlasan kepada Allah SWT kerana tiada keberkatan. Amalan yang baik tanpa iman adalah ditolak dan tiada taqwa tanpa iman.

Politik juga adalah ibadat bersyaratkan iman, Islam dan ikhlas kerana Allah SWT. Hal ini berpandukan firman-Nya:

﴿وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ٥﴾

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan ikhlas beribadat kepada-Nya semata-mata dalam (menjalankan) agama yang lurus; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat. Oleh yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5)

Firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan seluruh umatnya:

﴿وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ٦٥﴾

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad SAW) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: ‘Jika kamu (dan pengikut-pengikutmu) menyekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan kamu akan tetap menjadi daripada kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah al-Zumar: 65)

Dan juga firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

﴿ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ٨٨ أُولَئِكَ الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ فَإِنْ يَكْفُرْ بِهَا هَؤُلَاءِ فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا لَيْسُوا بِهَا بِكَافِرِينَ٨٩﴾

“Hal yang demikian itulah petunjuk Allah, dengannya Dia memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada para hamba-Nya; Seandainya mereka menyekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain), nescaya gugurlah daripada mereka, apa yang mereka telah lakukan (daripada amal-amal yang baik). (88); Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya kitab suci, dan hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir Quraisy) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya. (89).” (Surah al-An‘am: 88-89)

Justeru, politik tanpa aqidah atau iman dan Islam, tidak akan diterima oleh Allah SWT. Maka, tidak akan ada keberkatan yang membawa kebaikan di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

﴿وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ٨٥﴾

“Sesiapa yang mencari agama (dan cara kehidupan) selain daripada agama Islam, maka sekali-kali mereka tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan pada Hari Akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran: 85)

Apabila wahyu Islam disempurnakan dan Rasulullah SAW pula diwafatkan, maka para pemimpin dalam kalangan sahabat bermesyuarat bagi memilih ketua negara yang akan dibaiahkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa kewajipan politik kenegaraan diteruskan dengan ijma‘ para sahabat dan para ulama’ hingga Hari Kiamat.  

Rasulullah SAW memberikan suatu amaran yang keras kepada sesiapa yang membatalkan kewajipan ini melalui hadis-hadis yang banyak. Antaranya, sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌خَلَعَ ‌يَدًا ‌مِنْ ‌طَاعَةٍ، ‌لَقِيَ ‌اللهَ ‌يَوْمَ ‌الْقِيَامَةِ ‌لَا ‌حُجَّةَ ‌لَهُ، ‌وَمَنْ ‌مَاتَ ‌وَلَيْسَ ‌فِي ‌عُنُقِهِ ‌بَيْعَةٌ، ‌مَاتَ ‌مِيتَةً ‌جَاهِلِيَّةً.

Sesiapa yang melepaskan tangannya daripada memberikan baiah (kepada pemimpin yang dilantik) tanpa mentaatinya, nescaya dia akan berjumpa dengan Allah pada Hari Kiamat nanti tanpa mempunyai hujah (alasan); dan sesiapa yang mati tanpa ikatan baiah kepada pemimpin, nescaya dia mati dalam keadaan jahiliah.” (Riwayat Muslim 1851)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌مَاتَ ‌بِغَيْرِ ‌إِمَامٍ ‌مَاتَ ‌مِيتَةً ‌جَاهِلِيَّةً.

“Sesiapa yang mati tanpa seorang pemimpin, nescaya dia mati dalam keadaan jahiliah.” (Riwayat Ahmad 16876, al-Tabrani 910 dalam Mu‘jam al-Kabir dan lain-lain)

Hadis di atas mentafsirkan firman Allah SWT yang berikut:

﴿يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا٧١ وَمَنْ كَانَ فِي هَذِهِ أَعْمَى فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَى وَأَضَلُّ سَبِيلًا٧٢﴾

“(Ingatlah) hari Kami menyeru setiap kumpulan manusia dengan nama pemimpinnya; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), nescaya di akhirat (kelak) juga buta dan lebih sesat daripada jalannya (jalan kebenaran). (72).” (Surah al-Isra’: 71-72)

Maka, mereka yang menafikan kewajipan politik dalam Islam, adalah disebabkan oleh sifat jahil murakkab atau sesat terpengaruh dengan fahaman yang sesat daripada petunjuk Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

Tiada makhluk bumi Allah yang boleh melepaskan dirinya daripada naungan politik, sekalipun dia beruzlah mengasingkan diri. Termasuklah binatang buas di hutan rimba yang berada di bawah kawalan Jabatan Alam Sekitar dan mergastua.

Lebih-lebih lagi manusia yang berpakaian dan mempunyai makanan tersendiri dengan segala keperluannya, mereka tetap berada bawah pengaruh politik walaupun dia tidak terlibat secara langsung dengan politik. Pendiriannya terhadap perkembangan dunia tetap akan dihisab, sekurang-kurangnya dihukum menjadi syaitan bisu.

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَا ‌مِنْ ‌نَبِيٍّ ‌بَعَثَهُ ‌اللهُ ‌فِي ‌أُمَّةٍ ‌قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ، وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Tiada seseorang nabi yang dibangkitkan oleh Allah sebelumku, melainkan ada bersama umatnya mereka yang paling akrab dengannya. Mereka ialah para sahabat yang mengambil ajarannya dan mengikuti suruhannya. Kemudian, berlaku pertelingkahan (setelah wafatnya nabi) ada kalangan yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan, dan melaksanakan apa yang tidak diperintahkan. Oleh itu, sesiapa yang berjihad dengan tangannya melawan golongan itu, maka dia beriman. Sesiapa yang berjihad dengan hatinya, maka dia beriman dan sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, maka dia beriman. Tiada lagi keimanan setelah itu, walaupun sebesar biji sawi yang paling kecil.” (Riwayat Muslim 50)

Antara kemungkaran yang paling besar ialah meninggalkan politik Islam, kerana perbuatan tersebut menyebabkan Islam dihina, manakala umat dan tanah airnya pula dijajah.    

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا١٠٥﴾

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum (mengadili) antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Muharram 1443 / 14 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 14/8/2021

- Advertisement -