Pembangkang perlu jiwa besar tunggu Parlimen bersidang

- Advertisement -

KANGAR: Ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang hendaklah bertindak berdasarkan realiti yang berlaku menunggu persidangan diadakan pada September ini.

- Advertisement -

Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, pembangkang perlu terima realiti dan berjiwa besar menunggu Parlimen bersidang.

Katanya, kalau mereka merasakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai majoriti dan sebagainya, biarlah diselesaikan di Parlimen dengan telus.

“Itu yang sepatutnya dibuat mereka, hanya mungkin yang menjadi persoalan sesetengah pihak kenapa perlu tunggu sehigga bulan September.

“Bagaimanapun memandangkan peningkatan kes positif Covid-19 sekarang menyebabkan Perdana Menteri mencadangkan sidang Parlimen diadakan pada September,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Pada Rabu lepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bersedia memberi laluan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya perkara itu sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Malah katanya, berkaitan isu peletakan jawatan beliau di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan juga adalah tidak berbangkit.

Dr Rusdi juga berkata, sudah menjadi kebiasaan pembangkang tidak berpuas hati dalam segala hal.

“Pembangkang ini biasalah.. semua perkara mereka tidak puas hati, jika boleh dia hendak buat segera sidang Parlimen.

“Tetapi di Parlimen juga terdapat kes positif Covdi-19. Itu yang menyebabkan kerajaan PN memikirkan langkah berjaga-jaga supaya tidak diteruskan persidangan khas baru-baru ini.

“Jika tidak kena caranya semua ahli Parlimen boleh dijangkiti Covid-19 apabila nasihat Kementerian Kesihatan tidak dipatuh. Tentunya ia lebih parah lagi,” ujarnya.

Persidangan Parlimen dijangka diadakan pada 6 September ini bermula dengan istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun sebelum ini memberitahu istiadat itu akan berlangsung pada jam 10 pagi.

Mesyuarat pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September 2021.

Manakala mesyuarat kedua pula berlangsung selama 32 hari mulai 25 Oktober sehingga 16 Disember 2021. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -