Akta Rahsia Rasmi bocor, DPPNS gesa siasatan segera

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPNS) telah membuat dua laporan polis di IPD Seremban 2 berkaitan laporan kebocoran akta rahsia rasmi kerajaan serta laporan berkaitan fitnah terhadap kerajaan.

Ketuanya, Khairul Yazman Yahaya berkata, pihaknya mengambil maklum atas penularan surat yang didakwa sebagai surat Yang di­-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertarikh 29 Julai lalu.

- Advertisement -

“Kami beranggapan penyebaran surat ini adalah tidak wajar berlaku memandangkan ia surat kepada Perdana Menteri di bawah akta rahsia rasmi negara.

“Jika benar wujudnya surat berkenaan, sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu YAB Perdana Menteri.

“Tindakan ketua pembangkang yang mendahului pembacaan dan penyebaran surat tersebut didalam dewan parlimen adalah amat mengelirukan dan menjadi tanda tanya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Khairul berkata bahawa penyebaran fitnah oleh pemimpin pembangkang dari beberapa parti di media massa seperti dilaporkan dalam laporan adalah suatu usaha memburukkan kerajaan dan menimbulkan kegusaran dikalangan rakyat Malaysia.

“Penyebaran maklumat surat tersebut adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi,” ujar beliau.

Oleh itu, penyebaran ini adalah suatu tindakan tidak beretika dan cuba menimbulkan suasana tidak tenteram terhadap rakyat, serta mengganggu kestabilan dan keamanan negara.

Tambahan pula, pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan surat ini seolah-olah cuba berniat jahat menampakkan kononnya berlaku krisis di antara Istana dengan pihak kerajaan.

“Kita sedia maklum bahawa hubungan Perdana Menteri dan kerajaan dengan pihak istana adalah sangat akrab.

Mengulas lanjut, penularan surat ini dilihat adalah cubaan pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan konfrantasi antara pihak kerajaan dengan istana.

“Kami sekali lagi bertegas bahawa usaha dan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara dan gaya tidak bermoral ini adalah bukan ciri-ciri insan yang layak memimpin negara.

“Kerana ianya tiada semangat patriotik dan jelas memperlihatkan kerakusan untuk merampas tampok pentadbiran negara demi kepentingan mereka.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia dan pemimpin supaya berfokus kepada penyatuan bersama menyelesaikan urusan pandemik, bergembling tenaga dan berpadu.

“Dan bukannya membuat percubaan demi percubaan untuk mengganggu keamanan, mendapatkan kuasa pemerintahan negara dengan jalan tidak beretika,” tambah beliau.

Justeru, beliau berharap agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh demi kuasa, laba dan nama demi kepentingan pihak tertentu.

“Saya mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini.

“Saya juga meminta pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kebocoran surat dibawah akta kerahsiaan ini, dan kami beranggapan ia berunsur sabotaj dan khianat,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -