Himpunan: Petugas barisan hadapan rasa dikhianati

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka, semalam secara terang-terangan melanggar prosedur operasi standard (SOP), kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Menurutnya, petugas barisan hadapan (frontliners) ramai yang menghubungi beliau rasa dikhianati.

Beliau berkata, ada laporan mereka yang sepatutnya dalam kuarantin (bergelang pink) pun turut terlibat.

- Advertisement -

“Ini sangat berisiko dan membahayakan orang ramai,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya lagi, kehadiran beberapa orang politik secara jelas menunjukkan ia membawa agenda politik pihak berkepentingan berkenaan.

“Ini bukan lagi soal kepentingan rakyat atau negara,” katanya.

Beliau menambah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam setiap titah baginda sentiasa menyeru kerajaan dan rakyat memberi tumpuan usaha menangani Covid-19.

Menurutnya, tindakan pihak yang mempromosikan perhimpunan kelmarin lebih jelas menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong sedangkan apa yang mereka bangkitkan sedang diuruskan dengan penuh hemah antara istana dan kerajaan.

Katanya, kerajaan akan terus fokus menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan tiga indikator perlu dijayakan.

“Setakat data yang ada, operasi meningkatkan peratus populasi divaksinkan secara jelas diikuti dengan penurunan dalam bilangan kes baru dan kadar kemasukan ke hospital oleh Covid-19 apabila angka divaksinkan cukup tinggi,” jelasnya.

Ini, ujar beliau jelas dapat dilihat di Labuan dan Sarawak.

“Sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menyegerakan pemulihan di Lembah Klang dengan menyegerakan herd immunity melalui peningkatan berlipat ganda bekalan dan suntikan vaksin di Kuala Lumpur dan Selangor, saya merasa sangat kecewa.

“Frontliners ramai hubungi saya rasa dikhianati.

“Kami terpaksa tepis desakan untuk lebih banyak vaksin ke negeri-negeri lain demi memenuhi operasi lonjakan kapasiti vaksin di Kuala Lumpur. Petugas dikerah lebih masa. Wang banyak dibelanjakan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Sabah terpaksa memberi laluan mendahulukan lebih vaksin ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kelmarin angka jangkitan baru di Terengganu meningkat kepada 883 kes dengan nilai Rt, kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Tambahnya, tetapi mereka itu semacam tidak menghargai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dalam situasi semasa ketika penularan wabak Covid-19 yang memerlukan kerjasama semua untuk dibendung.

Menurutnya, pemantauan PDRM semasa perhimpunan berkenaan telah mengesan insiden-insiden di mana penganjur dan peserta perhimpunan secara jelas telah melanggar syarat-syarat SOP PPN. – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -