Lebih 80 peratus penternak arnab anak muda

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TUMPAT:
Lebih 80 peratus daripada hampir 10,000 penternak arnab di seluruh negara ini dipelopori oleh golongan anak muda.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, peternak arnab merupakan industri baru menarik minat pengusaha terutama dalam golongan anak muda.

Ini kerana katanya, pusingan ternakan yang singkat, kos operasi yang lebih rendah selain pengurusan untuk menternak juga tidak rumit menjadi antara punca bidang ternakan itu mendapat sambutan tinggi.

- Advertisement -

Katanya, sebagai contoh, seorang anak muda dapat memulakan ternakan sekiranya mempunyai modal RM3,000 selain ternakan arnab juga mudah membiak iaitu sekitar tujuh hingga 11 ekor dapat diperoleh.

“Pulangan daripada ternakan ini juga agak lumayan selain dalam tempoh kurang tiga bulan ia juga sudah boleh dijual di mana harga jualan daging arnab adalah sekitar RM35 sekilogram dengan anggaran berat antara 1.0 kilogram (kg) hingga 1.6 kg seekor.

“Malah, permintaan terhadap daging arnab juga semakin meningkat sebagai alternatif kepada sumber protein selain lembu, kambing, dan ayam sekali gus menjadikan bidang ternakan ini berbaloi untuk diceburi,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke Projek Ternakan Arnab di Kampung Lambor, Wakaf Bharu di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, populasi ternakan arnab di Malaysia pada tahun lalu dianggarkan sebanyak 44,967 ekor meliputi arnab pedaging dan haiwan kesayangan.

“Populasi arnab di negeri Kelantan menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan sejak lima tahun kebelakangan iaitu pertumbuhan sehingga 10,506 ekor pada tahun lalu dengan bilangan penternak seramai 301 orang berbanding 1,309 ekor pada tahun 2015.

“Kebanyakan penternak arnab di negeri ini bergerak secara aktif melalui persatuan antaranya Persatuan Penternak Arnab Kelantan (PETAK) dan Persatuan Penternak Arnab Pedaging Kelantan (APek),” katanya.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan melalui Skim Agropreneur Muda sehingga suku pertama tahun 2021 telah membantu seramai 16 orang penternak arnab berpotensi dengan menyediakan bantuan sokongan berbentuk kelengkapan penternak, infrastruktur, bekalan ternakan dan makanan ternakan berjumlah RM320,000.

“Tiada syarat khusus untuk menternak arnab namun digalakkan untuk mengikuti kursus asas yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Malah, pihak kami melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyokong perkembangan positif industri penternakan arnab, selain ia menjadi harapan kami agar industri ini mampu memberi persaingan sihat kepada komoditi sedia ada seterusnya dapat meningkatkan pendapatan penternak,” katanya.

Ujar beliau lagi, setakat ini pasarannya hanya dijalankan untuk dalam negara sahaja memandangkan kadar pengeluarannya masih rendah dan belum mampu menampung permintaan luar negara. – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -