Doktor kontrak terbela, teruskan berkhidmat demi negara

- Advertisement -

MASALAH doktor kontrak bukan masalah baru yang dicipta oleh kerajaan pada hari ini. Ia adalah hasil daripada kesilapan perancangan oleh kepimpinan negara sejak 20 tahun yang lalu di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Keobsesan kerajaan yang memerintah pada waktu itu dengan nisbah doktor:populasi setaraf dunia maju menyebabkan agenda menghasilkan doktor dengan cepat telah menjadi agenda negara sehingga terlahir fakulti-fakulti perubatan baru yang terlalu banyak melebihi nisbah fakulti perubatan:populasi di negara-negara maju sendiri.

Natijahnya, disebabkan terlalu ramai graduan perubatan dan pada masa yang sama penjawatan kekal doktor siswazah di Kementerian Kesihatan adalah terhad, maka diperkenalkanlah satu sistem penjawatan baru di bawah sistem penjawatan kontrak pada Disember 2016 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam, Dato’ Seri Najib Abdul Razak.

- Advertisement -

Pada ketika ia diperkenalkan, tiada mogok yang dilancarkan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau oleh mana-mana parti politik atau oleh doktor-doktor yang menandatangani perjanjian penerimaan jawatan kontrak tersebut. Namun ada beberapa penulisan daripada orang perseorangan yang menjangkakan musibah pasti akan berlaku disebabkan kesilapan perancangan dari sudut penghasilan doktor dan juga perjawatan kontrak tersebut.

Penjawatan Doktor Kontrak ini secara keseluruhannya adalah lima tahun dan akan berakhir pada Disember 2021 ini. Sepanjang lima tahun tersebut, tiada usaha dilakukan sama ada oleh kerajaan BN yang berakhir pada 2018 atau oleh kerajaan PH yang berakhir pada 2020. Tiada desakan daripada awal sehinggalah di akhir 2020.

PAS menyedari masalah doktor kontrak ini. Beban kesalahan bukanlah di pihak doktor kontrak dan bukan juga di bawah kerajaan pada hari ini. PAS telah mengeluarkan memorandum ringkas pada 28 Jun 2021 kepada Kabinet Malaysia, bagaimana untuk mengatasi masalah doktor kontrak ini sama ada untuk pelan jangka masa pendek mahupun untuk pelan jangka masa panjang.

Kami menyedari, untuk mengatasi masalah doktor kontrak untuk jangka panjang ia memerlukan perancangan yang rapi kerana ia akan memberi impak yang besar kepada negara. Tidak boleh dilakukan atas dasar sentimen atau emosi. Perlu juga dilakukan secara menyeluruh kerana beban penggajian akan meningkat melebihi RM2 billion setahun dengan jangkaan pertambahan RM250 juta setiap tahun dengan pengambilan semua graduan perubatan seramai 5,000 orang yang dihasilkan negara setiap tahun itu.

Namun, PAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pengumuman rasmi kerajaan pada 23 Julai 2021. Kenyataan tersebut telah menyatakan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah doktor kontrak tersebut dengan reformasi menyeluruh perkhidmatan kesihatan negara. Komitmen yang tidak pernah dilakukan oleh kedua-dua kerajaan sebelum ini.

Pada masa yang sama, PM telah memenuhi hampir semua persoalan doktor kontrak tersebut sama ada penyambungan tempoh kontrak, komitmen penerusan kontrak bagi yang menyambung kepakaran sehingga tamat, Hadiah Latihan Persekutuan bagi yang berjaya mendapat tempat kursus kepakaran dan gaji dan cuti yang setara dengan doktor berjawatan tetap. Akhirnya pengumuman PM tersebut telah merapatkan jurang di antara doktor kontrak dan doktor tetap dan yang berbeza hanya pada namanya sahaja.

Justeru, PAS merasakan tiada lagi keperluan untuk Gabungan Doktor Kontrak meneruskan niat Hartal mereka apabila semua permintaan tersebut dipenuhi dan jaminan dan komitmen untuk merubah sistem kesihatan telah diberi.

Ini adalah masa untuk kita bersama di dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin kritikal dan masa yang terbaik untuk kita beri pandangan di dalam mereformasi perkhidmatan kesihatan di Malaysia. Dan bukan masanya untuk kita berhartal.

PROF. MADYA DR MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat
25 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -