Korban ‘Charolais’, ‘Limousin’ untuk rakyat makan

Lembu Sado Bernama ‘Awang Merah’ jenis baka Limousin sangat jinak dengan Dato’ Amzad yang dijadikan korban Aidiladha, hari ini.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim buat tahun keduanya, melakukan penyembelihan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun 2021 ini.

Katanya, tahun ini sebanyak 29 ekor lembu korban disediakan oleh Parlimen Kuala Terengganu untuk diagihkan kepada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.

Menurut beliau, dari jumlah lembu korban itu sebanyak empat ekor telah disembelihnya sendiri bagi menunaikan ibadah tersebut dan selebihnya diuruskan di pusat penyembelihan sementara dan organisasi yang ditetapkan.

- Advertisement -

“Sebanyak empat ekor lembu korban disembelih sendiri dan saya berasa sangat teruja menyambut Aidiladha kali ini. Dua ekor lembu jenis baka Charolais dan Limousin yang dibeli dengan harga RM14,500 seekor untuk diagihkan kepada rakyat.

“Sembelih lembu sado lebih banyak memberi manfaat kepada orang ramai yang memerlukan berbanding lembu biasa. Selain dua lembu sado itu, saya juga menyumbangkan 27 ekor lembu kampung jenis Kedah-Kelantan kacukan Brahman untuk kawasan parlimen Kuala Terengganu tahun ini.

“Cuma dua ekor lembu sado dan beberapa ekor lembu kampung yang disembelih sendiri. Saya korbankan lembu sado ini untuk rakyat makan,” ujarnya kepada Harakah selepas Program Qurban Perdana Parlimen Kuala Terengganu di pekarangan rumahnya, Kampung Durian Burung, Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Khas Parlimen Kuala Terengganu, Syed Ali Al-Idrus, Pengarah Programnya, Zulkifli Wahab dan Pembantu Khas Parlimen (DUN) Batu Buruk, Tuan Ngah Tuan Ahmad, Syed Mohamad Suhaimi (Batu Buruk), Rul Azman Muda (Ladang) dan Pembantu Khas Parlimen (DUN) Wakaf Mempelam, Mohd Azmi Ali.

Justeru, kata Dato’ Amzad, beliau akan menjadikan amalan menyembelih sendiri ternakan korban itu setiap tahun bagi mendapat fadhilat dari ibadah tersebut.

Dato’ Amzad (kiri) bersama Pengarah Programnya, Zulkifli Wahab bersama salah seekor lembu sado jenis Charolais yang dikorbankan tahun ini.

“Saya bermula pada raya Aidiladha tahun 2020 lalu dan akan meneruskan tradisi menyembelih sendiri ternakan korban ini setiap tahun, Insya’Allah,” ujarnya yang teruja julung kali menyembelih dua ekor lembu sado berkenaan.

Menurutnya, bukan semua orang mampu membeli daging seperti ini apatah lagi dengan harga yang agak mahal untuk dinikmati oleh rakyat terutama yang terkesan akibat pandemic Covid-19 lebih setahun lalu. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -