Olimpik 2020, empat atlet Terengganu bakal buat kejutan

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU: Empat etlet yang berasal dari Terengganu bakal membuat kejutan pencapaian pingat pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Edisi ke-32, tidak lama lagi bermula 23 Julai sehingga 8 Ogos 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau yakin dan menaruh harapan agar keempat-empat atlet daripada Terengganu ini akan melakukan yang terbaik untuk negara.

- Advertisement -

Ini kerana, katanya jaguh berbasikal negara, Dato’ Azizulhasni Awang yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu pernah merangkul pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016 lalu.

“Kita (kerajaan) mengharapkan empat orang atlet ini melakukan yang terbaik dan daripada empat orang ini, kita sedia maklum bahawa Azizulhasni Awang sebelum ini pernah merangkul pingat gangsa tahun 2016 lalu.

“Tahun 2021 ini, kita mengharapkan Azizul dapat melakukan kejutan emas pertama untuk negara. KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mensasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat termasuk satu emas di Olimpik Tokyo kali ini.

“Kita (Terengganu) yakin, Insya’Allah akan datang daripada Azizulhasni yang mewakili sukan berbasikal. Ini sudah tentu insentif RM100,000 yang kita beri sebelum ini adalah merupakan satu galakan untuk merealisasikan hasrat peribadi Azizul untuk mencapai emas dan hasrat negara serta hasrat negeri Terengganu ini sendiri, Insya’Allah,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini

Ustaz Wan Sukairi berkata demikian ketika ditemui pada Program Qurban Perdana Parlimen Kuala Terengganu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di Pusat Tarbiyyah DUN) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, di sini, 21 Julai lalu.

Menurutnya, empat orang atlet berasal daripada Terengganu ini layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo bagi mewakili negara dalam acara berbasikal, memanah, olahraga dan Sukan Paralimpik.

“Kita ada empat orang atlet berasal daripada ‘anak jati’ Terengganu iaitu Azizulhasni Awang sukan berbasikal, Khairul Anuar Muhamad (Sukan Memanah), Azreen Nabila Alias (Olahraga) dan Zuhairie Ahmad Tarmizi untuk Sukan Paralimpik.

“Mereka berjaya mewakili negara ke Olimpik 2020 Tokyo. Dua orang daripadanya iaitu Azizulhasni dan Khairul Anuar, kerajaan negeri telah memberi insentif sebanyak RM100,000 seorang setahun lalu setelah disahkan layak ke Olimpik.

“Manakala, Zuhairie dan Azreen Nabila, kita (kerajaan) bagi RM30,000 seorang. Ini memandangkan kelayakan dan jarak masa mereka berdua baharu terpilih dan tidak sampai sebulan lagi. Kita bagi juga insentif tetapi jumlahnya berkurangan dalam RM30,000 sahaja,” jelasnya.

Ketika ditanya, apakah ‘habuan’ yang bakal diterima kepada atlet Terengganu jika berjaya mendapat pingat, kata Ustaz Wan Sukairi, Insya’Allah kerajaan Terengganu akan mengumumkan hadiah kecemerlangan itu bila tiba masanya.

“Ini menjadi suatu kebiasaan kepada mana-mana pihak sama ada kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri. Sekiranya, Azizulhasni atau mana-mana atlet berasal daripada Terengganu, empat orang ini berjaya mencapai pingat emas, perak atau gangsa di Olimpik 2020 Tokyo. Maka, Insya’Allah kerajaan negeri (Terengganu) akan memberikan suatu ‘hadiah’ atas kecemerlangan dan kejayaan dia mencapai salah satu ketiga-tiga pingat tersebut.

“Apa ganjarannya, kita akan lihat dan putuskan selepas perkara itu berlaku, Insya’Allah,” ujarnya dengan reaksi yang cukup menyakinkan.

Pelari pecut wanita negara itu, Azreen Nabila Alias disahkan terpilih untuk mewakili Malaysia bagi menyertai acara larian 100 meter (m) di temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo atas tiket ‘wild card’ setelah atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei layak menyertai Sukan Olimpik secara merit.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam turut merakamkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni Awang yang baharu dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang bmembawa gelaran Dato’.

Harakah difahamkan, perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Dato’ Isa @ Ghazali Endut pada 18 Julai lalu dan Istiadat Pengurniaan Bintaang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Tahun 2021, akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -