UMMAH seru pelihara keamanan, kestabilan negara

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru semua pihak agar memelihara keamanan dan kestabilan negara dengan membantu mematuhi undang-undang negara bagi menangani Covid-19.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa turut menyeru agar semua ahli politik menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan peribadi dan kelompok atau parti.

- Advertisement -

“Berpolitiklah dengan matang dan menghormati kedaulatan undang-undang untuk kesejahteraan rakyat dan negara, bukan mempolitikkan kesusahan negara dan rakyat demi cita-cita peribadi dan parti.

“Rakyat sudah muak dan bosan dengan ahli politik yang sentiasa berpolitiking sehingga tidak menghiraukan kebajikan rakyat yang sedang berdepan dengan kesusahan dan keperitan hidup,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tawaran bantuan guaman oleh DAP Wilayah Persekutuan kepada tiga aktivitis kumpulan ‘bendera hitam’ yang terlibat dalam bantahan antikerajaan yang dikompaun sebanyak RM2,000.

Pada 19 Julai, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tampil menawarkan khidmat pro bono menerusi pasukan guaman DAP untuk membawa kes itu ke mahkamah.

Mohd Zai berkata pihaknya agak terkejut dengan tawaran tersebut.

Katanya, daripada apa yang dilihat, DAP bukanlah parti yang patrotik, malah oportunis sehingga sanggup merosakkan kestabilan negara demi cita-cita politik.

“Kesanggupan peguam DAP ini memperlihatkan aktivis ini telah menjadi boneka dan tunggangan kepada matlamat DAP,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya terdapat kemungkinan bahawa ketiga-tiga aktivis itu merupakan boneka DAP yang berselindung atas nama NGO dan rakyat.

“Adakah DAP cuba merancang untuk membuat huru-hara di negara ini atas nama NGO?

“Adakah DAP berharap agar rakyat keluar ke jalan raya melakukan bantahan dan huru-hara dalam keadaan darurat masih belum ditamatkan dan PKP masih dikuatkuasakan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) serta jangkitan Covid-19 masih tinggi?

“Adakah DAP menyokong rakyat melanggar undang-undang negara?

“Adakah DAP cuba mengambil kesempatan dalam waktu sukar ini untuk bermain politik untuk mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara?” soalnya bertubi-tubi. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -