Antirasuah: Pembohongan, hipokrit dan retorik DAP-PH

KUALA LUMPUR: Kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin DAP sebenarnya menjadi gambaran betapa parti itu selama ini hipokrit di mana banyak melakukan pembohongan dan retorik semata-mata.

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim malah menyifatkan kes-kes berkenaan menunjukkan realiti sebenar Pakatan Harapan (PH) ketika mereka memegang tampuk kuasa pemerintahan 22 bulan.

Advertisement

Menurut beliau, sejak DAP menang dan berkuasa di negeri ini, pelbagai janji dan slogan diketengahkan seperti ‘Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’, tetapi banyak perkara sebaliknya yang berlaku.

Begitu juga katanya, apabila DAP kononnya sebagai kerajaan antirasuah dan berintegriti, tetapi selama 13 tahun memerintah rupanya semua itu hanya momokan, sebaliknya dipenuhi isu korupsi.

Kesali beliau, salah guna kuasa politik secara berkepentingan juga dilihat seperti telah dilakukan apabila kes-kes rasuah dan berprofil tinggi digugurkan semasa mereka memegang Kerajaan Persekutuan.

“Mereka (DAP) melawan rasuah, tetapi mereka sendiri yang melakukan rasuah. Berbanding Kelantan walaupun didakwa DAP agak terkebelakang, tidak maju dan sebagainya, tetapi Kelantan paling ke depan dari segi integriti.

“Pentadbiran PAS di Kelantan tidak ada tolok bandingan ketika ini di mana sudah 30 tahun lebih memerintah, tetapi tidak ada kes penyelewengan berlaku di Kelantan berbanding dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang penuh kontroversi,” ujarnya.

Tegas Iszuree, DAP juga sebenarnya tidak memperjuangkan kepentingan rakyat sepertimana dapat dilihat daripada pembinaan rumah mewah dan mahal terlampau banyak hingga rakyat terpaksa lari keluar dari negeri ini.

Katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang ternyata tidak mengutamakan keperluan rakyat untuk memiliki rumah, sebaliknya berlaku migrasi bukan warganegara masuk ke negeri ini mendiami kediaman mewah tersebut.

Begitu juga bidasnya, terhadap isu projek-projek mega yang mencengkam penjagaan dan kelestarian alam sekitar sebagaimana projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) melibatkan pembinaan tiga pulau buatan.

Beliau selaku juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang turut mengimbas penipuan Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam mempertahankan tanah tradisi dan warisan di Kampung Batu Uban.

Ceritanya, setelah ada bantahan dan isu berbangkit, pengambilalihan itu untuk pembangunan hanya ditangguhkan sehingga PRU13, tetapi akhirnya sejarah kampung itu dilenyapkan dan memihak pemaju.

Tambah beliau, pihak kerajaan kononnya menentang dan meminta pemaju membatalkan projek itu, tetapi pihak pemaju sendiri mendedahkan kepada beliau ia hanya penangguhan sehingga PRU13 sahaja.

“Saya sebagai wakil PAS di dalam Kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu telah hilang kepercayaan kepada DAP yang jelas bermuka-muka untuk membantu kampung-kampung Melayu ini. Mereka hanya menitik beratkan kepada kemenangan untuk pilihan raya semata-mata,” kesalinya.

Iszuree malah menyifatkan helah tersebut sebagai pendekatan serupa pernah dibuat pemimpin PAP di Singapura untuk mengaburi sokongan kepada mereka yang kini diolah DAP dalam politiknya di Pulau Pinang.

Lantaran itu, beliau tidak pelik apabila pemimpin Kerajaan DAP didakwa menggunakan kuasa memindahkan hak milik tanah kerajaan kepada pihak swasta atau pemaju sebagai ‘balasan’ kerja yang dibuat.

“Ini menunjukkan masalah ‘conflict of interest’, dalam masa sama mempunyai kepentingan diri untuk keuntungan diri sendiri bagi membangunkan Pulau Pinang dengan kaedah acuan kapitalis yang mementingkan kemajuan dunia,” ujarnya. HARAKAHDAILY 19/7/2021