PRU15 mungkin selepas pembentangan Bajet 2022

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat di negara ini dijangka berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi dengan mengambil kira suasana politik yang berlaku sekarang.

Asas penentuan tarikh itu antara lain mengambil kira tahap imuniti kelompok (herd immunity) bagi mengurangkan penularan pandemik Covid-19 dan Bajet 2022.

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, dua elemen itu menjadi indikator penting bagi menentukan tarikh PRU15.

- Advertisement -

“Jadi paling awal pun kita menjangka pembubaran parlimen akan diadakan pada September dengan mengambil takwim persidangan parlimen yang diumumkan baru-baru ini,” katanya pada satu program secara atas talian hari ini.

Baru-baru ini Yang Dipertua Dewan Rakyat Dato’ Azhar Azizan Harun mengumumkan mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal keempat akan diadakan selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September ini.

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat penggal keempat pula akan diadakan selama 32 hari bermula 25 Oktober hingga 16 Disember.

Mohd Amar berkata, berdasar takwim persidangan tersebut tidak boleh ditolak PRU15 boleh diadakan selepas pembentangan Bajet 2022.

Kata beliau selepas pembentangan bajet itu kemungkinan ada ruang untuk perdana menteri mengumumkan pembubaran parlimen.

“Maka mengambil kira perkembangan itu jentera pilihan raya dan penerangan PAS perlu membuat persediaan lebih awal dengan memantapkan kekuatan dalaman dan menguasai isu semasa.

“Apabila jentera kita ada kekuatan dalaman tentunya lebih memudahkan gerak kerja terutamanya apabila kita juga mampu menguasai media sosial,” katanya.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, penguasaan media sosial begitu penting seperti yang berlaku kepada Pakatan Harapan (PN) pada PRU lepas.

Menurutnya juga ketika itu PH dikatakan menguasai pentas media sosial sehingga mereka meraihkan kejayaan pada PRU lepas.

“Lebih-lebih lagi sekarang politik dipengaruhi oleh persepsi yang perlu diberi jawapan segera terhadap sesuatu isu untuk mengelakkan berlaku kekeliruan berpanjangan dalam masyarakat.

“Selain itu kita kena perlu perbanyakkan ceramah-ceramah ringkas melalui maya bagi menjawab sesuatu isu yang berbangkit kerana ia lebih mudah diikuti golongan muda,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 17/7/2021

- Advertisement -