Sanusi jawab desakan ADUN PAN

Disifatkan bermain politik tanpa baca perundangan berkaitan dan kesannya

- Advertisement -

ALOR SETAR: Naib Pengerusi PAN Negeri Kedah, Dr Salmee Said dinasihat membaca terlebih perundangan berkaitan di sebalik permainan politiknya mendesak Sidang DUN diadakan. 

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menjawab gesaan Dr Salmee merujuk undang-undang di bawah Proklamasi Darurat 2021 supaya memahami kesannya kepada DUN. 

- Advertisement -

“YB Kota Siputeh… Kita masih tertakluk di bawah Ordinan Darurat 2021 sehingga 1 Ogos 2021,” jawab Sanusi yang juga ADUN Jeneri terhadap desakan tersebut. 

ADUN wanita PAN itu telah memuat naik gesaan dan pertikaian terhadap Sanusi dengan mengemukakan pertanyaan secara rakaman maya di media sosial nya berkaitan Sidang DUN. 

“Tolong dengar MB Kedah, saya nak tanya. Bila Sidang Dewan Negeri Kedah hendak dibuka? Apa masalahnya? Kami ADUN-ADUN sudahpun dicucuk vaksin. Jadi apa masalahnya tidak mahu buka Sidang DUN Kedah? 

“Banyak persoalan yang kami nak tanya dan kita nak bincang dan kita nak bahas perbagai isu yang sedang melanda rakyat negeri Kedah sekarang ini. 

“Jadi saya nak tanya bila Sidang DUN Kedah hendak dibuka? Tolong dengar MB Kedah, Muhammad Sanusi,” soalnya yang merupakan pertikaian seumpama diajukan ADUN pembangkang lain.

Sanusi di samping jawapan ringkas tersebut turut memuat naik poster petikan pertanyaan sering diajukan (FAQ) mengenai Proklamasi Darurat 2021 berkaitan Sidang Parlimen dan DUN

Jawapan bersandar Seksyen 14 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 itu juga dilampir bersama Seksyen 12 dan 13 serta 17 dan 18 berkaitan PRU, PRN dan PRK serta kekuasaannya. 

Dalam pada itu, Sanusi turut memberitahu perkembangan semasa untuk Kedah perlu mencapai indikator ditetapkan Pelan Pemulihan Negara sebelum ke Fasa 2. 

Menurutnya, ketika ini terdapat 13.5 kes positif COVID-19 bagi setiap 100,000 penduduk di mana perlu terlebih dahulu ianya turun hingga berada di bawah 12.2 kes. 

Kedua maklumnya, kapasiti penggunaan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital yang telah mencapai 85 peratus diturunkan sehingga berada di bawah paras 74 peratus.

Jelasnya, indikator kedua ini mesti membawa kepada indikator ketiga iaitu kapasiti tindak balas perlu mencapai had sederhana atau memadai untuk persediaan. 

Kadar vaksinasi 2 dos penerima vaksin dewasa pula katanya, mesti melepasi had minimum 10 peratus di mana kadar semasa Kedah telahpun mencapai 13.8 peratus setakat semalam. 

Begitu juga ujarnya, purata kadar kes harian di negeri ini masih tinggi iaitu 295 kes, sekali gus menuntut kerjasama rakyat untuk membantu menurunkan bilangan kes harian. 

“Kurangkan penularan dengan menghadkan pergerakan dan mematuhi SOP PKP dan PKPD (prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan/Diperketatkan) 

“Kurangkan penggunaan katil ICU – elakkan daripada dijangkiti – Patuhi SOP, lakukan swab test jika bergejala untuk segera dapatkan rawatan awal.

“Dapatkan vaksin segera apabila tiba giliran masing-masing di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) atau klinik berhampiran,” pesan beliau. – HARAKAHDAILY 13/7/2021

- Advertisement -