Wujud peluang pekerjaan, kurang kadar pengangguran

- Advertisement -

MENURUT laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Mei 2021 kadar pengangguran di Malaysia merekodkan penurunan sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada April 2021. Justeru itu, bilangan penganggur yang dicatatkan seramai 742.7 ribu orang pada April 2021 berkurang kepada 728.1 ribu orang pada Mei 2021.

Penurunan itu berikutan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan tempat membolehkan situasi tenaga buruh Malaysia pada April 2021 terus berada di landasan pemulihan. Situasi ini membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan meneruskan aktiviti dalam kapasiti penuh dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

- Advertisement -

Bagaimanapun, krisis kesihatan dengan pertambahan mendadak jumlah kes COVID-19 pada Mei 2021 menyebabkan pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara dilaksanakan iaitu bermula 1 Jun 2021. Hal ini menyebabkan penutupan penuh semua sektor ekonomi dan sosial kecuali ekonomi dan perkhidmatan perlu. Berikutan senario itu, ekonomi rakyat dijangka akan berdepan situasi yang mencabar bagi beberapa bulan ke hadapan. Oleh itu, pihak kerajaan perlu melaksanakan solusi-solusi yang efektif supaya dapat mengurangkan impak dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan.

Majoriti penduduk luar bandar mencadangkan agar industri tempatan dirancakkan melalui bantuan dana oleh pihak kerajaan. Seperti yang kita sedia maklum bahawa dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), kebanyakan premis perniagaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Oleh itu, kerajaan perlu menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan atau ‘business survival’ terutamanya dalam kalangan pengusaha PKS mikro dan peniaga kecil.

Sebahagian besar penduduk luar bandar juga berharap agar peranan koperasi komuniti dapat diperkembangkan. Koperasi komuniti berupaya menjadi wadah atau cara untuk membantu rakyat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup mereka. Sekiranya aktiviti koperasi komuniti ini dapat diperkembangkan, ianya mampu untuk membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, sekali gus menjana pendapatan negara.

Ketahui dengan lebih lanjut dan terperinci melalui dapatan QGA dalam ‘Analisa Persepsi Solusi Pilihan Rakyat Di Malaysia’ (Zon Tengah Luar Bandar: Kawasan Campuran)’.

Untuk analisis lengkap dalam bentuk pdf dan infografik, anda boleh layari website QGA: https://qgenanalysts.org/analisaqga7/

QGENANALYSTS – HARAKAHDAILY 13/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/2953404834948379/

- Advertisement -