Covid: Momokan kerajaan gagal, siapa sebenarnya gagal

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan momokan kerajaan gagal untuk bermain politik adalah suatu perkara yang tidak sihat.

Katanya, beliau mengetahui siapa yang mewujudkan dan tujuannya adalah untuk menghakis kepercayaan kepada kerajaan sebagai satu strategi politik.

“Kalau tengok pada angka dan fakta, kita adalah kerajaan yang cukup berjaya tetapi jangan ambil kesempatan daripada kesempitan. Kerajaan sedang sempit dihimpit oleh pandemik,” katanya.

- Advertisement -

Tambah beliau, Islamic Finance Forum (IFF) turut mengiktiraf negara ini sedang menuju ke arah pertubuhan ekonomi 6.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Jadi lebih baik kita tumpukan masa untuk saling sokong menyokong, yang renggang kita dekatkan, yang jauh rapatkan, yang retak kita boleh gabungkan daripada saling melemahkan satu sama lain.

“Dek kerana hanya agenda kecil yang bersifat peribadi kita meninggalkan amanat dan agenda yang lebih besar. Sebab itu pada saya gandingan yang ada pada kerajaan sekarang ini yang mana Umno, PAS segalanya ada di situ perlu dipertahankan.

“Kalau ada lemah kita baiki kerana kita tidak mampu gagal,” katanya dalam program Bicara Harakah yang membicarakan tajuk ‘Mengurus Covid-19: Betul Ke #KerajaanGagal?’, malam tadi. Turut menjadi ahli panel ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pengurusan Covid-19 juga diuruskan oleh semua kerajaan.

“Jawatankuasa tertinggi Covid-19 itu MKN (Majlis Keselamatan Negara) khas Covid-19 dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan anggotanya menteri besar parti daripada Bersatu, menteri besar PAS, menteri besar Umno, menteri besar PKR, ketua menteri DAP, kesemuanya ada.

“Ini bukan soal kerajaan Perikatan Nasional yang menguruskan Covid-19. Covid-19 diuruskan oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang datangnya daripada semua parti, mengapa kita nak katakan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional.

“Sepatutnya kita ambil tanggungjawab bersama, kita tahu kalau dia nak mengkritik daripada orang Umno, kita tahu Umno yang duduk menguruskan Covid-19, yang duk kritik daripada orang PAS, PAS ada dalam pengurusan Covid-19, yang duduk kritik daripada DAP, DAP ada dalam Jawatankuasa itu.

“Kalau kita duduk hayun kata kerajaan gagal, siapa yang gagal, ludah ke langit, jatuh ke muka sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -