Parti Melayu usah terpikat jajaran baharu tajaan PH

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pemimpin Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) disaran tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mahu membentuk jajaran baharu melibatkan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, sebarang perkara yang boleh membuka ruang kepada PH bangkit kembali perlu dielakkan.

Katanya, langkah tersebut bukan sahaja menyebabkan pengkhianatan kepada rakyat dan negara, malah akan mengembalikan umat Islam dan Melayu ke zaman gelap.

- Advertisement -

“Kita sudah ada pengalaman 22 bulan PH mentadbir negara yang sangat memeritkan dan mengerikan dengan cabaran terhadap Islam, orang Melayu dan Raja-raja.

“Adakah kita bersedia membuka pintu semula kepada untuk PH kembali berkuasa,” katanya di sini.

Malah pada era kerajaan PN, ada menteri kabinet yang berani mempertikaikan tugas polis dalam isu rusuhan di sebuah kuil di Selangor.

Sebelum ini kerap muncul istilah jajaran baru dan khemah besar yang diimpikan PH dengan mendapat sokongan parti Melayu untuk membolehkan mereka kembali berkuasa di Putrajaya.

Oleh itu Muhammad Azmir berharap desas-desus jajaran baharu yang impikan PH tidak akan berlaku dengan syarat ada kesedaran tinggi orang Melayu dan rakyat negara ini.

Menurutnya juga pemimpin-pemimpin parti politik diajak mengenepikan dahulu polemik dan sentimen kepartian sebaliknya berganding bahu membantu kerajaan melandaikan lengkuk Covid-19.

“Saya berkeyakinan penuh kerajaan Perikatan Nasional bekerja keras melandaikan pandemik Covid-19 bagi membolehkan urusan kerajaan termasuk persidangan parlimen dapat diadakan semula.

“Ketepikan dahulu polemik dan sentimen kepartian, marilah bekerjasama dan berganding bahu menyelesaikan masalah besar yang melanda negara kita sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -