Ahli Parlimen perlu berjiwa besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Parlimen mampu mengembalikan semula fungsi dan peranan ahli Parlimen dalam perbahasan melibatkan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun menurut Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Pahang Kampus Raub Dr. Ilyas Abdullah mengingatkan pemimpin politik agar tidak menjadikan sidang Parlimen sebagai medan untuk kembali mencetuskan konflik politik.

- Advertisement -
Dr. Ilyas Abdullah

Katanya, sekiranya niat pemimpin politik sekadar bertumpu kepada pertukaran kerajaan, maka persidangan Parlimen tidak akan membawa sebarang manfaat kepada kebajikan rakyat di saat sukar ini.

Malah, katanya sekiranya hal tersebut berlaku, negara akan berada dalam situasi yang lebih tegang dan rumit.

“Ahli Parlimen harus berjiwa besar dan tidak perlu terjebak dalam sebarang usaha merampas kuasa.

“Tumpuan harus diberikan kepada menangani isu Covid-19 dan juga kebajikan rakyat,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Tambah beliau, semua pemimpin politik harus menumpukan gandingan secara bersama agar frasa ‘dari rakyat untuk rakyat’ benar-benar dapat diterjemahkan.

Jelasnya, Yang di-Pertuan Agong telah membuktikan keprihatinan apabila berkenan untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak termasuk wakil pemimpin parti politik.

Menurutnya lagi, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengurus isu pertukaran tampuk kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) dan juga krisis pandemik Covid-19 dengan begitu tenang wajar disanjung. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -