Sentimen dan fitnah jadi mainan PH

- Advertisement -

TIBA-tiba sahaja Pakatan Harapan (PH) bagaikan jadi champion kepada rakyat seolah-olah selama ini mereka amat cakna dengan kepentingan rakyat.

Hinggakan sengaja dipadam kebejatan 22 bulan kesengsaraan yang mereka hidangkan buat rakyat ketika mereka memerintah.

Rakyat hanya dapat ‘RM30’ e-wallet sedangkan yang dikikis dari poket rakyat itu lebih banyak dan rakyat diminta berkorban bersama bina semula negara, dalam masa yang sama kroni PH meratah kesenangan dan dapat dilihat beberapa kes yang dikaitkan dengan kroni mereka sedangkan hanya 22 bulan sahaja memerintah.

Mereka mendakwa kononnya mereka mewakili suara rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Benar ketika ini rakyat amat terkesan dengan pandemik Covid-19 apatah lagi dengan situasi kritikal negara berdepan dengan pandemik ini.

Ketika ini negara berada pada fasa berperang dengan penularan Covid-19 yang meningkat mendadak berbanding ketika Covid-19 mula-mula melanda negara tahun lepas.

Pun begitu di celah-celah perang melawan pandemik Covid-19, PH dan sekutunya dilihat sengaja menangguk di air yang keruh dengan semua isu dan tindakan kerajaan dipersoalkan, malah sengaja mahu menghilangkan dalam pemikiran rakyat bahawa kerajaan sedang berusaha mengatasi penularan Covid-19 dan mempertingkatkan program vaksinasi menyeluruh yang kini mencapai lebih 200,000 suntikan sehari.

Pun begitu minda rakyat cuba dimomokkan dengan pelbagai tuduhan khasnya melalui tentera media sosial mereka iaitu RBA yang amat terkenal dengan mengalih isu dan membuat serangan fitnah tanpa memikirkan pahala dan dosa.

Apakah rakyat dan warga netizen sudah lupa sepanjang 22 bulan PH menerajui kerajaan, mereka melazimi kehendak pihak-pihak yang ternyata menolak Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam perkara kedudukan Istimewa Raja-raja Melayu, Hak Melayu dan bumiputera, Islam sebagai agama rasmi negara.

Lebih memeritkan ketika mereka memerintah rakyat dijadikan umpama ‘hamba’ di bumi sendiri dengan dasar yang banyak ditentukan selera dan haluannya oleh abang long DAP yang amat membuat rakyat berang.

Doktrin anti Islam dan suara menghina Raja-Raja Melayu seolah-olah sengaja dibiarkan berlaku ketika zaman mereka memerintah.

Pun begitu ketika ini mereka seolah-olah cuba mengalih beban itu kepada kerajaan PN dengan serangan demi serangan bermula sejak mereka jatuh walaupun umum tahu mereka jatuh angkara perbuatan mereka sendiri tatkala perbalahan dalaman PH gagal mereka uruskan.

Ketika ini PH mencanang kononnya kerajaan ini gagal dan lemah walaupun dalam keadaan seluruh tenaga kerajaan ditumpukan kepada perang melawan pandemik Covid-19 dan membina semula ekonomi akibat Covid-19.

Dalam masa yang sama rakyat khasnya warga netizen amat mudah terpengaruh dengan pelbagai tuduhan yang sebenarnya direkayasa (fitnah) demi menghalalkan hasrat PH mahu berkuasa kembali.

Pesan orang tua-tua, usah biar diri kita dipatuk ular di lubang yang sama kali kedua apatah lagi lubang itu miliki ular berbisa yang hanya mahu mengambil kesempatan…Renungkan bersama… – HARAKAHDAILY 19/6/2021