Botol 5 kg: Harga minyak masak PAS Mall RM28

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pasar raya yang diterajui Lajnah Ekonomi PAS Selangor, PAS Mall mengekalkan harga jualan RM28 untuk sebotol 5kg minyak masak sawit.

Pengerusinya, Ustaz Zaharudin Muhammad berkata, tindakan itu dibuat demi membantu ekonomi negara dan rakyat yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut beliau, walaupun langkah yang diambil itu menyebabkan PAS Mall berdepan dengan kerugian atau deficit, namun mereka tekad untuk melakukannya menggunakan strategi tersendiri.

Advertisement

“Dalam keadaan negara bergelut dengan kenaikan minyak masak di pasaran akibat pandemik, PAS Mall akan membuktikan kemampuan untuk membekalkan minyak masak jenama Al-Baraq dengan harga RM28.00, kekal sebagaimana sebelumnya.

“Kami mempunyai strategi jualan tersendiri untuk mengekalkan minyak masak dengan harga asal sebelum PKP.

“Walaupun pihak PAS Mall terpaksa menanggung sedikit deficit akibat kenaikan minyak masak di pasaran, pihak PAS Mall tetap mengekalkan harga asal, tanpa 1 sen pun kenaikan demi membantu negara dan rakyat yang sedang bergelut dengan masalah kewangan akibat PKP.

“Dengan kata lain, pihak PAS Mall mengekalkan harga minyak masak pada takuk lama dengan menggunakan pendekatan ala-ala DCA (Dollar Cost Averaging).

“Teknik ini kadangkala digunakan oleh kapitalis untuk dapatkan stok murah yang banyak dan menjualnya pada waktu mahal.

“Manakala PAS Mall menterbalikkan teknik tersebut, iaitu mengekalkan harga murah waktu kenaikan harga akibat PKP,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Menurut Ustaz Zaharudin yang juga pengasas PAS Mall berkata, pihaknya berhasrat untuk bertahan dengan harga itu sehingga harga minyak masak sawit kembali stabil.

Katanya, jika kenaikan itu berterusan dalam tempoh yang lama, pihak PAS Mall juga mungkin terpaksa menaikkan harga, tetapi dengan harga yang berpatutan.

Bagaimanapun, pihaknya akan cuba bertahan semampu mungkin bagi mengekalkan harga sedia ada dengan kaedah dan strategi-strateginya tersendiri, kata beliau.

PAS Mall adalah pasaraya online PAS Selangor di bawah Lajnah Ekonomi PAS Negeri yang memulakan operasinya pada bulan Mei 2021.

Pelanggan boleh melayari laman sesawang PAS Mall untuk sebarang pembelian atas talian.

Setiap pembelian akan diinfaq khusus secara automatik untuk PAS Selangor yang mana dibayar oleh pembekal, manakala keuntungan jualan dan edaran pula akan diperolehi oleh Lajnah Ekonomi PAS Selangor.

Pihak PASMALL akan membuat penghantaran setiap Sabtu ke seluruh negeri Selangor dan Lembah Klang. Sebarang tempahan boleh hubungi http://wasap.my/60105333476. – HARAKAHDAILY 13/6/2021