Tiada aktiviti pembalakan di TER Puncak Janing

TER
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tiada aktiviti pembalakan di sekitar kawasan Taman Eko Rimba (TER) Puncak Janing sebagaimana dakwaan ditularkan, demikian pengesahan Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah.

- Advertisement -

Menurut beliau, kekeruhan kepada sumber air masyarakat yang berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama sedang dilaksanakan Jabatan Perhutanan Kedah.

“Ia untuk kegunaan kakitangan Jabatan Perhutanan Kedah bagi menjalankan aktiviti pra pelesenan untuk kelulusan kawasan pembalakan di Kompartmen 42 dan kompartmen 43, Hutan Simpan Bukit Perangin.

“Taman Eko Rimba Puncak Janing adalah sebuah Hutan Lipur yang diurus oleh Jabatan Perhutanan Kedah dan terletak di Kompartmen 41, Hutan Simpan Bukit Perangin.

“Terdapat sebuah tandak air masyarakat bersaiz 20 meter persegi yang telah dibina di dalam kawasan tersebut dan digunakan oleh penduduk Kampung Pasir Putih dan Kampung Tengah Baru,” ujarnya hari ini.

Beliau menjawab aduan awam mengenai pembalakan didakwa itu dan disebarkan melalui media sosial facebook Lann Kopnai dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) pada 10 Jun lalu.

Laporan itu membangkitkan berkenaan pembalakan berhampiran Taman Eko Rimba tersebut yang menyebabkan berlakunya kekeruhan kepada sumber air masyarakat di perkampungan sekitar Puncak Janing.
 
Jelasnya, aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama tersebut telah menyebabkan kekeruhan kepada aliran anak sungai (carok) yang mengalir ke Taman Eko Rimba Puncak Janing.

“Pada masa yang sama, taburan hujan yang agak tinggi di kawasan tersebut telah menyumbang kepada kekeruhan air sungai tersebut,” ujar beliau.
 
Maklumnya, bagi menangani masalah kekeruhan bekalan air masyarakat, Jabatan Perhutanan Kedah telah mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama tersebut dihentikan dengan serta merta.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan kawasan tersebut diberikan pada 2019 dan 2020 iaitu ketika pentadbiran Pakatan Harapan di mana kini sedang proses membuat jalan dan penandaan sempadan.

Jelasnya, belum ada tebangan berlaku dan dicadangkan untuk mengatasi masalah berlaku agar pemindahan tandak air dari lokasi asal ke lokasi baru untuk mengelakkan berlakunya kekeruhan pada sumber air tersebut dengan kos ditanggung oleh pengusaha pembalakan.

“Juga dicadang menggandakan kelebaran Zon Penampan alur air yang terdapat dalam kawasan kelulusan memandangkan semua aliran anak sungai dalam kawasan kelulusan mengalir ke Taman Eko Rimba itu.

“Pihak jabatan perlu mengadakan pemantauan secara berkala    semasa aktiviti pembalakan dilaksanakan kelak supaya impak    terhadap alam sekitar dapat diminimumkan,” ujarnya.

Hasil dari pemerhatian secara keseluruhan akan berlaku pertikaian antara hasrat kerajaan negeri khususnya untuk menambahkan hasil melalui aktiviti pembalakan dengan kehendak masyarakat terhadap kepentingan sumber air.

Demikian itu wujud cadangan daripada Jabatan Perhutanan Kedah supaya satu konsultasi bersama masyarakat kampung diadakan sekiranya aktiviti pembalakan di kawasan tersebut akan diteruskan nanti. – HARAKAHDAILY 13/6/2021


- Advertisement -