Kakitangan Jabatan Perhutanan pertahan integriti

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kakitangan Jabatan Perhutanan Kedah diingatkan tidak mencari jalan mudah bagi mendapatkan wang untuk kepentingan peribadi mereka.

Menteri Besar, Muhamamd Sanusi Md Nor berkata, pelbagai taktik boleh dilakukan termasuk membuat penipuan dengan mengisytiharkan kayu berkualiti tinggi contohnya meranti kepada lebih rendah seperti Chapca.

Katanya mereka yang tiada integriti boleh melakukan apa sahaja termasuk juga saiz kayu balak diukur kurangkan satu dua inci daripada saiz sebenar.

“Perbuatan itu akan menghilangkan hasil negeri. Kalau hanya sebatang mungkin tidak meninggalkan kesan tetapi apabila melibatkan berpuluh-puluh batang balak ia akan menjejaskan pendapatan negeri.

- Advertisement -

“Jadi saya ingatkan kakitangan Jabatan Perhutanan mengekalkan integriti dan tidak bersubahat membantu pihak yang cuba menipu mengenai hasil balak.

“Saya tidak menuduh sesiapa atau mana-mana pihak tetapi memberi peringatan supaya perkara sebegitu tidak berulang lagi,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa di Seri Mentaloon semalam.

Menurutnya juga beliau ada pengalaman mengenai perkara itu hasil bergaul dengan mereka yang menguruskan industri pembalakan.

Kata beliau penipuan boleh berlaku melibatkan pengusaha industri pembalakan.

Pada majlis itu Menteri Besar berharap peraturan penebangan hanya dibenarkan tiga pokok sahaja dalam jarak 100 meter persegi perlu dipatuhi.

“Ini berikutan khazanah hutan semakin berkurangan di seluruh dunia dan aktiviti itu perlu dikawal selia dengan baik.

“Tuanku Sultan juga pesan agar kena cemburui mengurus hasil masyhul negeri. Kena kawal elok-elok,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/3/2021

- Advertisement -