
ALOR SETAR: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) diingatkan tidak mencampuri urusan kerajaan Kedah menguruskan kawasan Ulu Muda.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah sebuah negeri berdaulat yang mempunyai hak ke atas kawasan Ulu Muda.
“Jangan dok pandai-pandai cadang orang lain urus pula. Dia (PBAPP) urus negeri dia sudahlah. Jangan campur tangan urusan negeri orang,” kata beliau pada sidang media di Seri Mentaloon semalam.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Dato’ Ir Jaseni Maidinsa dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penubuhan pihak berkuasa bebas menguruskan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Sebelum ini kerajaan Kedah menntut royalti air terhadap kerajaan Pulau Pinang dengan kadar RM50 juta setahun kerana menggunakan sumber air yang mengalir dari Kedah.
Pulau Pinang menggunakan sumber air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah sejak 2010, difahamkan tidak pernah membayar sebarang royalti kepada negeri tersebut.
Sanusi juga berkata, selagi Kerajaan Pulau Pinang tidak membayar hak Kedah tuntutan tersebut akan dibuat secara berterusan.
Bagaimanapun beliau tidak menolak sekiranya perkara itu dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan, namun lebih penting bagi Kedah menerima bayaran yang sepatutnya diperolehi.
Malah Menteri Besar tidak menolak kemungkinan akan membawa isu tersebut ke mahkamah sekiranya kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP gagal menyelesaikan tuntutan terbabit. – HARAKAHDAILY 22/3/2021











