Ketegasan tutup operasi judi perlu sokongan padu

operasi
- Advertisement -

ARAHAN penutupan serta-merta premis kasino Genting Highlands pada Jumaat lalu oleh Menteri Kanan (Pertahanan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan ketegasan kerajaan terhadap sektor tersebut. Pengoperasiannya bukan sahaja salah di sisi agama Islam, malah tidak membawa sebarang manfaat.

Dalam situasi pandemik COVID-19 dan ekonomi tidak menentu ketika ini juga, sektor perjudian dan premis kasino seperti ini langsung tidak membantu terhadap motivasi kerohanian dan tekanan mental serta keharmonian rakyat, apatah lagi terhadap poket peribadi dan keluarga, sebaliknya mengundang lebih banyak masalah.

Kami berharap, arahan tegas ini dipanjangkan pemantauannya terhadap operasi ke atas premis dan kegiatan seumpama di seluruh negara!

Kuasa kerajaan mesti digunakan untuk meningkatkan penguatkuasaan menangani kegiatan perjudian tanpa lesen. Malah, kerajaan perlu menghentikan juga cabutan loteri atau judi untuk tujuan kebajikan.

Pemuda PAS Malaysia juga ingin mengulangi kebimbangan yang telah dizahirkan sebelum ini berhubung langkah kerajaan yang menambah kekerapan cabutan khas judi dari lapan kali setahun pada tahun 2020, kepada 22 kali setahun bermula 2021.

Sekalipun kekerapan cabutan ini bertujuan untuk menambahkan pendapatan negara namun kami berpendapat ianya bukan jalan penyelesaian terbaik. Judi adalah haram di sisi Islam dan hanya akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

Antara usaha ke depan yang lebih kukuh adalah mengadakan undang-undang lebih ketat di mana menjamin tiada keterlibatan sama sekali orang Islam dalam kegiatan dan operasi ini. Malah, ke atas orang bukan-Islam pun kebenaran hanya diberi dalam had keluarga atau majlis perayaan tertentu sahaja.

Kami melihat, kepercayaan awal sudah ada kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang pernah mengungkap untuk lebih baik operasi premis demikian tidak beroperasi. Usaha intensif merangka untuk menutup terus operasinya dari muka bumi Malaysia mesti diusahakan dari sekarang.

Kami percaya, Malaysia akan jauh lebih baik tanpa semua operasi pub, kelab malam dan kasino, sekali gus akan menyelesaikan isu-isu berkaitan diakibatkan selama ini. Ia kini tidak lagi memerlukan perdebatan atau polemik atau salah menyalahkan dan menuding jadi, sebaliknya semua pihak mesti menyokongnya bersama.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Memimpin Negara”

YB SENATOR IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -
- Advertisement -