Cari solusi secara berhikmah, tidak lari dari masalah

- Advertisement -

‘MEREKA ditangkap kerana solat berjamaah’. ‘Mereka ditangkap kerana langgar SOP’. 

Dua perkara atas satu kejadian. Namun dari ayat yang dibina ia sangat berbeza kesan. Inilah yang sedang dibina dalam pemikiran rakyat Malaysia. Ia bukan hanya dibina oleh mereka yang jahil dan jahat tetapi dipimpin oleh ahli politik yang hanya memikirkan survival diri dan kelompok sendiri.

Sebagai contoh lain:

- Advertisement -

‘Kerajaan kena tutup kilang untuk selamatkan rakyat…’

Ayat ini nampak sopan namun jika diperhalusi kefahamannya, tidakkah pekerja kilang itu juga rakyat? Tidakkah kilang itu dibuka untuk membantu kehidupan rakyat? Ayat sebegini bagi saya sangat jahat. Sama seperti ayat pertama yang saya bawa dalam tulisan ini. 

Ramai di kalangan kita cuba lari dari masalah. Ia sebenarnya tidak menyelesaikan masalah. Sudah tiba masanya kita dididik menempuh dan menyelesaikan masalah. Apa yang penting ialah bagaimana caranya?

Kita salah dalam didikan awal sejak kecil dengan niat yang baik. Kita diajar agar kanak kanak dilarang mendengar bicara orang tua. Sedangkan di sudut ilmu, kanak-kanak boleh menjadi lebih dewasa dan matang. Penyelesaiannya bukan menghalang anak kecil mendengar sembang orang dewasa tetapi didik mereka adab mendengar. Dalam masa yang sama mendidik orang dewasa agar berbicara sesuatu yang bermanfaat dan berakhlak. Jangan lari dari masalah tetapi selesaikan masalah.

Ada orang menyangka dengan lari dari masalah, kita dapat menyelesaikan masalah. Sebenarnya tidak. Ia ibarat menyapu sampah ke bawah karpet. Ia akan menambah masalah. Menanti waktu untuk masalah yang lebih besar.

Inilah dilema kerajaan hari ini. Antara menghentikan semua aktiviti ekonomi untuk menyekat rantaian COVID-19 atau meneruskan aktiviti agar ekonomi negara terus hidup? Tanpa ekonomi, terlalu sukar menguruskan pandemik ini. Antara dua pilihan yang sukar.

Persoalannya benarkah hanya dua pilihan? Tiada pilihan ketiga? Kita kena berani membanyakkan pilihan dalam mengurus kemelut berpanjangan ini. Antara pilihan yang ada dan dikira terbaik ialah meneruskan aktiviti ekonomi dalam masa yang sama memperketatkan SOP. Ekonomi terus hidup dan COVID-19 dapat dikekang.

Ada yang bertanya. Kenapa tak buat macam awal dulu. Kita boleh kurangkan angka hingga satu kes. Jawapannya apakah kerajaan mampu memberi bantuan seperti awal dulu sedangkan aktiviti ekonomi negara terhenti? Apa yang paling penting dan pilihan yang ada ialah mendidik rakyat mematuhi SOP. Kehidupan perlu diteruskan, namun penyebaran COVID-19 perlu dikawal. 

Rakyat perlu sedar norma baru yang cuba diterapkan oleh kerajaan. Dalam masa yang sama pemimpin politik perlu berhenti mengambil kesempatan menghasut rakyat. Pemimpin politik perlu berganding bahu membantu dan bukannya mencari ruang meraih populariti politik. Sama ada dari kerajaan atau pembangkang.

Kesimpulannya, kita sebagai rakyat perlu rasional menerima norma baru bagi meneruskan kehidupan ini. Pemimpin politik perlu berhenti mengambil kesempatan meraih simpati untuk kepentingan diri. Dengan gandingan bersepadu ini, insya-Allah segala masalah mampu kita atasi. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -