Kebangkitan Palestin, penyatuan umat Islam

- Advertisement -

OPERASI ketenteraan yang dilancarkan ke atas Gaza adalah percubaan Israel dengan restu negara-negara sekutunya atas nama menentang Hamas dan Tanzim Jihad. Kedua-dua gerakan yang diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh negara Barat dan beberapa negara Arab. Mereka kini bukanlah tiada rasa malu, tetapi sudah tiada maruah. Kemudian berhempas pulas, apabila pejuang Islam melancarkan serangan balas dengan hebat melalui serangan udara yang dahsyat. Dahulu hanyalah intifadah dengan batu, kini bertukar kepada intifadah dengan roket.

Intifadah bermula dengan keganasan yang dilakukan oleh Israel, apabila Perdana Menteri negara haram itu, Benjamin Netanyahu yang membentuk kerajaan campuran yang disokong oleh parti-parti pelampau mengambil langkah berani dan bodoh dengan sokongan pendatang daripada pelampau Yahudi yang berduyun-duyun.

Seterusnya bertindak menceroboh Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadhan yang mulia. Dahulunya mendapat sokongan Donald Trump yang bodoh dan juga melampau oleh rakyat Amerika yang dipengaruhi oleh Zionis, sehingga mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang sah.  Hari ini pula bertindak menceroboh kawasan Sheikh Jarrah dengan rampasan dan rompakan rumah, seterusnya menghalau penduduknya yang bermukim (dahulunya rumah Sheikh Amin al-Husaini yang diroboh dan dibina hotel). Pendatang itu datang dengan ganas dan bersenjata, dan mereka dilindungi pula oleh pasukan polis dan tentera yang lengkap bersenjata.

- Advertisement -

Apa yang telah mereka lakukan itu dianggap sebagai langkah proaktif, tetapi pada hakikatnya laksana memukul sarang tebuan. Israel cuba bertindak balas dengan menyerang ganas ke atas Gaza melalui tindakan paling ganas, atas slogan menjaga keselamatan Israel. Beberapa negara Barat juga membuat kenyataan, bahawa tindakan Israel itu adalah hak mereka yang sah. Namun, mereka masih gagal menguasai keseluruhan kawasan dan akhirnya kebangkitan merebak ke seluruh bumi Palestin.      

Oleh kerana itu, penentu menang dan kalah dalam pertempuran antara kedua-dua pihak ialah serangan darat. Maka, tanda-tanda telah menunjukkan bahawa Israel takut untuk meneruskan serangan mereka. Justeru itu, mereka mengambil pendekatan politik secara diplomatik dan media dengan sokongan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya termasuklah negara-negara Arab dan Islam yang kecil dan lemah lagi hina. Begitu juga, peranan media bagi melindungi keganasan yang telah dilakukannya.

Pendekatan pertama secara diplomatik telah dilakukan dengan pendekatan solusi dua negara (two-state solution) untuk kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi, disusuli oleh Perjanjian Camp David pada tahun 1978, Perjanjian Madrid pada tahun 1991 dan Perjanjian Oslo pada tahun 1993, serta melakukan normalisasi dengan mengiktiraf kewujudan negara Israel dan wujudnya negara Palestin hanya menjadi angan-angan.

Kerajaan Israel yang dibayangi oleh Zionis pada hakikatnya menolak penyelesaian solusi dua negara dengan cara berdolak-dalik sekali gus membodohkan semua negara di seluruh dunia. Hai ini demikian kerana, penyelesaian tersebut adalah bercanggah dengan slogan yang ditulis di Knesset (Parlimen Israel) iaitu perjuangan ke arah pembentukan negara Israel Agung bermula dari Sungai Nil sehingga ke Sungai Furat (Euphrates).

Penerimaan terhadap penyelesaian tersebut sekadar membina kekuatan Israel dengan bantuan yang disalurkan oleh negara kuasa besar, di samping itu untuk memajukan kemampuan mereka sendiri yang datang secara bertali arus.

Penyelesaian solusi dua negara itu didukung oleh PBB, kemudiannya diikuti oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang tidak bermaya. Sepatutnya OIC memainkan peranan dengan kewajipan untuk menyatukan umat Islam dan membina kekuatan mereka dalam segala lapangan. Akan tetapi, mereka hanyalah bersifat kelab untuk berforum dengan mengeluarkan hasil resolusi yang mengikut arahan tangan-tangan yang nyata dan ghaib.

Golongan Zionis yang tergamam dengan kebangkitan semula Islam, gagal melekakan umat Islam dengan khutbah-khutbah yang diatur sehingga mimbar masjid-masjid di Makkah dan Madinah juga dipergunakan. Para imam dan ulama’ yang tidak patuh dengan arahan akan disekat atau ditahan, sebahagian daripada mereka hari ini masih meringkuk dalam tahanan, termasuklah wakil Hamas yang sedang sakit tenat.

Maka, isu Islamofobia (keganasan) diuar-uarkan oleh puak Zionis. Gerakan Hamas dan Tanzim Jihad dijadikan sasaran utama untuk dihapuskan, apabila kedua-dua kumpulan itu disenaraikan sebagai pengganas. Walau bagaimanapun, usaha itu tetap menemui kegagalan juga. Mereka tidak mampu melawan realiti yang menunjukkan bahawa pengaruh gerakan Hamas dan Tanzim Jihad semakin kuat, sehingga mampu membatalkan pilihan raya umum yang telah diputuskan.

Kebangkitan kuasa baru dunia melalui Iran, kemudiannya diikuti oleh Turki gagal dikepung oleh Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, mereka juga sedang menghadapi blok Rusia dan China yang telah ditangani secara bodoh oleh Presiden AS sebelum ini, Donald Trump. Keadaan yang demikian telah menyulitkan mereka. 

Antara perkara yang mereka paling gagal ialah usaha untuk menutup keganasan yang dilakukan oleh Israel, laksana menutup bangkai gajah dengan tapak tangan dan baunya yang busuk. Allah SWT telah menyatakan dalam al-Quran betapa dahsyat keganasan bangsa Yahudi. Hal tersebut tidak boleh ditamatkan dengan menerima penyelesaian dua negara dan penyelesaian seumpama itu, sehingga ada pula yang terpaksa melakukan normalisasi secara terbuka dan mengadakan hubungan sulit dengan Zionis Yahudi. Firman Allah SWT: 

﴿وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ الْبَيِّنَاتِ وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ  أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ٨٧﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan Kitab Taurat kepada Musa, dan Kami susuli selepas itu dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi ‘Isa, putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul Qudus (Jibril). Maka patutkah, setiap kali datang kepada kalian seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kalian, kalian (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kalian dustakan, dan sebahagian yang lain pula kalian bunuh?” (Surah al-Baqarah: 87)

Keputusan yang datang daripada Allah SWT dan para Rasul juga mereka boleh koyak dan pijak, walhal mereka telah diberikan beberapa kali kemenangan melalui mukjizat para nabi, namun perkara itu langsung tidak dikenang. Maka, negara kuasa besar yang mereka tentukan perjalanan kerajaannya, begitu juga PBB dan pelbagai pertubuhan antarabangsa semuanya berada di bawah telunjuk Zionis.

Oleh itu, penyelesaian dua negara sebenarnya ditolak mentah-mentah oleh Israel sendiri dengan tindakan yang paling ganas dengan mengizinkan pendatang yang dilatih ketenteraan mengganas dan merampas rumah kediaman, perniagaan, kebun dan lain-lain milik rakyat Palestin. Namun begitu, rakyat Palestin tetap bangkit menentang Israel dengan tangan kosong.

Lalu, Israel menyerang bumi Gaza yang kecil bentuk fizikalnya, tiba-tiba besar pula keazaman dan kuatnya keimanan bumi suci itu untuk menghadapi kekejaman Zionis. Sehingga pejuang Islam di sana tidak menyerah kalah, walaupun pertempuran yang berlaku sudah memakan angka korban yang tinggi dan banyak bangunan-bangunan, bukan sahaja rumah kediaman telah runtuh akibat dibom.

Tindakan yang ganas menggila oleh Israel telah mencetuskan intifadah yang baru, bukan sahaja di Tebing Barat (West Bank) yang menjadi lokasi cadangan utama bagi penyelesaian dua negara dan lain-lain, bahkan merebak sehingga melahirkan kebangkitan Arab dalam negara Israel sendiri. Tindakan yang dilakukan oleh Israel laksana menyiram minyak ke dalam api.

Alasan kenapa Israel berani bertindak sedemikian rupa, ialah kerana adanya jaminan keselamatan Israel daripada segala bantuan dari aspek bekalan senjata sehinggalah usaha diplomatik dengan memujuk negara-negara Arab dan Islam. Khususnya hari ini sudah ada negara Arab yang melaksanakan normalisasi terhadap Israel secara talam dua muka. Pada satu ketika mereka bersama Palestin, sedangkan pada waktu yang lain pula bersekongkol dengan negara yang dianggap tuan besar iaitu Israel.

Perkara tersebut masih berlaku, walaupun negara-negara Arab itu dikatakan telah mengecapi kemerdekaan yang diulang-ulang sambutannya sudah berpuluh kali sebagai hari kebangsaan negara masing-masing. Pada masa yang sama, negara-negara Arab itu berwiridkan perkataan pengganas mengikut riwayat negara Zionis.

Jangan mudah lupa akan sejarah bahawa Israel sudah mengganas sejak negara haram itu ditubuhkan lagi, sehingga ke hari ini dan juga berterusan pada masa akan datang. Mereka tetap mengerahkan anggota tentera, polis, dan rakyat serta pendatang yang menjadi tentera tambahan.

Maka, tindakan pejuang Palestin menyerang Israel secara menyeluruh adalah sah dan adil, tidak sama dengan serangan yang dilakukan ke atas Gaza dan kawasan penduduk Palestin. Semua pihak dipersilakan menyemak semula undang-undang antarabangsa dan segala piagam yang terkandung di dalamnya.

Bagi negara-negara yang melakukan normalisasi terhadap Israel, hendaklah mereka semua kembali ke pangkal jalan. Seruan ini secara khusus ditujukan kepada Arab Saudi yang bergelar khadam dua Tanah Haram (Tanah Suci), supaya membebaskan para imam masjid-masjid di Makkah termasuklah para ulama’, ilmuwan dan pemimpin masyarakat yang berani bercakap kerana benar.

Khususnya juga beberapa orang pemimpin Hamas yang datang berlindung di sana yang turut ditahan, termasuklah seorang individu yang sedang tenat menghidapi kanser berusia 80 tahun yang dijaga oleh anaknya juga telah ditahan. Apa yang telah dilakukan oleh pemerintah Arab Saudi itu merupakan satu tindakan zalim yang telah mencalarkan wajah negara yang bergelar khadam dua Tanah Haram.

Buat mereka yang melampau Islam yang dianutinya, sama ada daripada mereka yang mempunyai sifat kumpulan Khawarij atau terlalu lantang pegangan Sunni dan Salafinya, hentikanlah dengan bermudah-mudah mengkafirkan orang lain.

Budaya takfir (mengkafirkan orang lain) sangatlah bahaya sehingga boleh membawa kepada tindakan pembunuhan di pasar, hotel dan kedutaan asing. Bahkan juga pembunuhan di masjid dan di sekolah dalam kawasan yang mempunyai masyarakat Islam dan majmuk.

Walhal ada kalangan mereka itu, golongan yang soleh dan juga yang fasiq. Malah ada juga yang terlanjur kerana kejahilan dirinya dan ada juga yang dipaksa. Sesungguhnya adalah berdosa besar, jika semua golongan tersebut secara suka-suka dibunuh dengan mudah. Oleh itu, letakkan semua senjata yang digunakan dalam tanah air dan masyarakat sendiri, dan gunakanlah senjata tersebut untuk menentang Israel dan rakan-rakan sekutunya.

Percayalah kepada janji dan amaran Allah SWT kepada mereka yang sedang berperang dan mereka yang melakukan pengkhianatan, firman-Nya:

﴿إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا  إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا  وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ٣٩﴾

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak menyukai akan setiap seorang yang melakukan pengkhianatan, lagi kufur akan ni‘mat-Nya (tidak bersyukur). (38); Telah diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai; dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (39)” (Surah al-Hajj: 38-39)

Israel dan rakan-rakannya tersilap langkah apabila menyangka bahawa umat Islam boleh ditundukkan dengan pembunuhan beramai-ramai. Mereka sebenarnya sangat bebal kerana umat Islam lebih gembira untuk mati syahid sebegitu rupa dan mendapat kemuliaan di alam akhirat bersama keluarga semuanya. Hal tersebut kerana umat Islam mati dalam keadaan dizalimi, khususnya kerana mempertahankan agama dan Tanah Suci Baitul Maqdis. Keadaan itu berlainan dengan agama Yahudi yang takutkan mati. Allah SWT berfirman kepada mereka:

﴿قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الْآخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ٩٤ وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ  وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ٩٥ وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَى حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا  يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ٩٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): ‘Jika kalian menganggap negeri akhirat (syurga) itu telah menjadi hak istimewa untuk kalian di sisi Allah, bukan untuk orang-orang lain (seperti yang kalian dakwakan itu), maka bercita-citalah untuk mati (supaya kalian dimatikan sekarang juga), jika benar kalian orang-orang yang benar.’ (94); Dan sekali-kali mereka tidak akan menginginkan kematian itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. (95); Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mendapati mereka itu adalah manusia yang paling tamak kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir Musyrik. Masing-masing dalam kalangan mereka menginginkan agar diberikan tempoh usia untuk hidup selama 1000 tahun, padahal usia yang panjang sedemikian, tidak akan dapat melepaskan mereka daripada azab (yang telah disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan. (96)” (Surah al-Baqarah: 94-96)

Kini sudah tiga buah negara Islam tampil secara terbuka membuat kenyataan iaitu Republik Islam Iran membantu dari segi bekalan senjata dan kewangan. Kemudian Turki yang menyatakan akan bertindak dan juga Qatar yang sudah tidak mempunyai konsulat Israel bertindak memberikan sokongan kewangan dan media kepada Palestin.

Kita percaya bahawa persaudaraan iman dan Islam akan menggerakkan seluruh umat Islam. Pada masa yang sama, akan mendedahkan siapa kawan dan siapa musuh, seterusnya menjelaskan siapa yang beriman dan siapa yang munafiq.

Firman Allah SWT:

﴿الم١ أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ٢ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ٣﴾

“Alif, Laam, Miim. (1); Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2); Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. (3)” (Surah al-‘Ankabut: 1-3)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Syawwal 1442 / 21 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -