Polis Marin kawal perairan di kawasan PKPD

- Advertisement -

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor akan memperkukuhkan kawalan kesemua jalan air yang menjadi pintu masuk ke kawasan pulau di Tumpat.

Ia bagi memastikan tiada penduduk dapat meloloskan diri keluar daripada kawasan itu.

- Advertisement -

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, langkah itu dibuat selepas kawasan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula tengah malam esok.

“Meskipun tugas itu agak berat memadangkan kawalan tersebut banyak laluan tikus, namun PPM akan tetap berusaha sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu anggota PPM Wilayah Tiga melakukan rondaan di kawasan perairan kepulauan Tumpat bagi memastikan penduduk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

PPM juga berharap penduduk yang melihat sebarang pegerakan dan aktiviti mencurigakan boleh terus melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan yang sepatutnya.

Tambah Mohd Rudzuan PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang dikesan melanggar SOP.

Beliau juga berkata, rondaan itu akan dilakukan secara berkala bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan penduduk berada pada tahap terbaik.

“Kami menyeru penduduk patuh SOP dan tidak mencuba nasib untuk melarikan diri ke kawasan daratan. Sama-samalah kita bantu memutuskan rantaian Covid-19 dengan terus berada di rumah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -