Soal jawab fidyah puasa

- Advertisement -

Soalan: Apa itu fidyah?

Jawapan: Fidyah adalah bayaran wajib yang dikenakan ke atas mereka yang meninggalkan puasa Ramadan dan tidak segera menggantikannya (qada) sehingga masuk Ramadan berikutnya. Ia boleh juga diibaratkan seperti ‘denda’ atas kelalaian seseorang.

Apakah dalil fidyah?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka sebagai qada) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (al-Baqarah: 184).

Bagaimana nak bayar fidyah?

Fidyah pada asalnya dibayar dengan makanan asasi. Di Malaysia, beraslah makanan asasi. Kadar fidyah pula ialah 1/4 daripada harga beras fitrah. Misalnya di Selangor, harga beras fitrah ialah RM7, maka harga fidyah ialah RM1.75. Jumlah ini bersamaan secupak beras. Namun begitu, sesetengah negeri atau negara mempunyai jenis makanan dan harga fidyah yang berbeza-beza.

- Advertisement -

Adakah wajib berganda?

Menurut qaul yang muktamad di sisi Mazhab Syafie, mereka yang mengabaikan puasa gantinya sehingga melewati Ramadan demi Ramadan yang berikutnya, maka mereka wajib menggantikannya dengan disertai bayaran fidyah yang berganda.

Ada contoh pengiraannya?

Jika tiga tahun dia tidak menggantikannya, maka dia wajib berpuasa dan membayar fidyah dengan gandaan tiga. Contohnya, jika empat hari dia tidak berpuasa, maka 4 hari x 3 tahun = 12 x RM1.75 = RM21.00. Harus difahami, hanya bayaran fidyah yang berganda, namun jumlah qada puasa tidaklah berganda.

Bolehkah tak nak berganda?

Ada negeri tertentu yang mengambil pendekatan tidak mewajibkan gandaan fidyah dan menyerahkannya kepada kemampuan individu berkaitan. Dalam keadaan berkenaan, sangat molek bagi mereka yang berkemampuan untuk menggandakan fidyahnya.

Siapa yang boleh terima fidyah?

Penerima fidyah juga tidak boleh sebarangan orang. Hanya mereka yang berstatus fakir dan miskin sahaja yang layak menerima fidyah. Oleh itu, jika mahu menaja majlis iftar atau membuat kenduri dengan wang fidyah, wajiblah dipastikan semua tetamu adalah fakir dan miskin sahaja. Hal ini pastilah menyusahkan.

Bolehkah tukar dari beras kepada wang?

Ya. Fidyah boleh ditukar ke dalam bentuk wang dan ditunaikan di kaunter-kaunter zakat mahu pun menyalurkannya sendiri kepada fakir miskin.

Mana lebih afdal bayar di kaunter zakat atau beri sendiri?

Afdalnya beri sendiri. Namun jika susah nak cari fakir miskin, bolehlah diserahkan kepada kaunter zakat atau baitul mal.

Fidyah boleh tolak Cukai Pendapatan tak?

Tak boleh. Hanya zakat sahaja boleh tolak cukai.

Perlukah maklumkan penerima bahawa wang itu wang fidyah?

Sebaik-baiknya dimaklumkan kepada penerima bahawa wang berkenaan adalah fidyah. Dengan itu, orang berkenaan tidak akan membeli barang-barang selain makanan yang mengenyangkan atau menyalahguna wang fidyah dengan membeli rokok atau makanan ringan.

Bolehkah beli makanan lain selain beras?

Ya. Wang fidyah juga boleh digunakan untuk membeli makanan utama lain seperti telur, tepung, minyak masak, susu dan sebagainya. Syaratnya ia mestilah makanan yang mengenyangkan dan bersifat pelengkap makanan utama.

Wanita yang hamil dan menyusukan bayi, bagaimanakah fidyah mereka?

Jika wanita sedang mengandung dan menyusukan bayi, lalu dia tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia hanya wajib mengqada puasanya sahaja dan tidak wajib membayar fidyah. Melainkan dia tidak mengqada puasanya sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya. Wajiblah dia membayar fidyah.

Namun, jika wanita yang hamil dan menyusukan anak itu tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wanita itu wajib mengqada puasa dan wajib juga membayar fidyah sekaligus. Ini kerana, dia meninggalkan puasa demi menjaga kepentingan orang lain dan bukan kepentingan dirinya sendiri.

Bagaimana pula fidyah bagi mereka yang tak larat berpuasa?

Bagi orang-orang tua yang terlalu uzur untuk berpuasa atau mereka yang sakit berpanjangan sehingga tidak mengizinkannya berpuasa, malah jika dia memaksakan diri berpuasa akan membawa mudarat, cukuplah dengan membayar fidyah sahaja dan tidak wajib berpuasa.

Orang koma wajib fidyah ke?

Jika seseorang itu mendapat kemalangan lalu koma selama 20 tahun dan baharu sedar pada hari ini, maka sepanjang dia koma 20 tahun itu hendaklah dibayarkan fidyah sahaja dan tidaklah wajib baginya mengqadanya kembali puasanya, kerana koma adalah melibatkan kesihatan dirinya yang tidak diduga dan telah menimpakan kesusahan kepada dirinya. Namun jika koma hanya beberapa hari sahaja, wajiblah dia mengqada puasanya.

Tak pernah puasa dari mula akil baligh, bagaimana nak bayar fidyah?

Dalam dunia ini, terdapat kes-kes tertentu yang sangat ekstrem, iaitu ada segelintir individu yang tidak pernah berpuasa sejak akil baligh. Maka, pengiraannya berbeza bagi lelaki dan wanita.

Bagi lelaki, sila tentukan usia baligh dan paling lewat ialah 15 tahun. Jika usianya kini ialah 50 tahun, maka dia wajib mengqada puasanya dengan kiraan berikut, 35 tahun x 30 hari = 1,050 hari. Bukan itu sahaja, dia juga wajib membayar fidyah sebanyak 1,050 hari x RM1.75 = RM1,837.50. Ini bagi kes di Selangor yang mengizinkan tidak berganda. Jika berganda, maka kiraannya akan menjadi sangat tinggi.

Bagi wanita, maka sila tentukan usia baligh. Biasanya wanita baligh lebih awal. Katakan 12 tahun, dan kini usianya 50 tahun. Tentukan juga jumlah hari haid yang menghalangi dia berpuasa. Katakanlah 10 hari sebulan. Maka, setiap bulan dia hanya wajib berpuasa 20 hari.

Maka, dia wajib mengqada puasanya dengan kiraan, 38 tahun x 20 hari = 760 hari. Bukan itu sahaja, dia juga wajib membayar fidyah sebanyak 760 hari x RM1.75 = RM1,330. Ini adalah bagi negeri Selangor yang mengizinkan tidak berganda, jika negeri yang berganda pasti jumlahnya lebih tinggi.

Wajibkah orang yang sengaja tak puasa itu qada puasa atau cukup bayar fidyah sahaja?

Jumhur ulama menyatakan bahawa diwajibkan bagi orang yang dengan sengaja tidak berpuasa untuk menggantikan puasanya. Ini kerana, mereka tidak berpuasa kerana kelalaiannya sendiri. Ia berbeza dengan kes mereka yang sakit atau koma.

Malah, di samping mengqada puasa dan membayar fidyah, mereka juga wajib bertaubat dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan jika mereka mati sebelum sempat habis mengqadakan puasanya, Allah SWT telah mengampuni dirinya.

Bagaimana jika mereka mati dan masih ada baki fidyah?

Jika ada yang meninggal dunia dan masih mempunyai bayaran fidyah yang belum lunas, maka pihak waris wajib mengambil harta si mati untuk melunaskan semua baki fidyahnya. Jika si mati tidak berharta, maka pihak waris boleh menggunakan harta mereka sendiri untuk membantu menjelaskannya.

Jika tidak dilunaskan apakah kesannya?

Berdosa. Ini kerana, fidyah itu jika tidak dilunaskan di dunia, maka ia akan menjadi hutang di sisi Allah SWT yang bakal dituntut di akhirat kelak.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 16/5/2021

Penulis ialah Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah Divisyen Strategi Korporat Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

- Advertisement -