Luar biasa semangat jihad wanita Palestin

Ilustrasi sekadar hiasan

UMUM mengetahui konflik antara Zionis Israel dan Palestin telah berlangsung terlalu lama sehingga menyebabkan kematian ribuan nyawa.

Bermula pada tahun 1897 di dalam Kongress Pertama Zionis (First Zionist Congress) dan Deklarasi Balfour pada tahun 1917, golongan Yahudi Zionis telah mula menuntut bahawa tanah Palestin adalah milik mereka.

Ini merupakan titik mula penindasan terhadap rakyat Palestin yang mana berlakunya konflik bersenjata yang dimulakan oleh Zionis dan disokong oleh kuasa-kuasa besar negara barat.

Advertisement

Pada 15 May 1948, rejim Zionis Israel mengisytiharkan bahawa Israel adalah negara yang merdeka. Perkara ini disambut dengan kesedihan oleh rakyat Palestin dan seluruh dunia, yang mana hari tersebut dikenali sebagai “Hari Nakba” atau Hari Kecelakaan.

Perkara ini berlanjutan sehingga tercetusnya “Perang 6 Hari” antara negara-negara Liga Arab dan rejim Zionis Israel bagi menyekat kemaraan Israel yang dengan jelas cuba untuk mendapatkan lebih banyak kawasan jajahan di tanah Palestin.

Akibat kekalahan Liga Arab pada ketika itu, Zionis Israel telah berjaya menguasai kawasan Gaza, Sinai, Tebing Barat dan Bukit Golan yang sebelum ini berada di bawah pentadbiran Palestin.

Pada tahun 1993-1995 beberapa siri perjanjian yang dinamakan sebagai Perjanjian Oslo (Oslo Accords) telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak, bagi mewujudkan penyelesaian dua negara (two state solution). Palestin pada ketika itu diwakili oleh Palestine Liberation Organisation (PLO) yang diketuai oleh Allayarham Yassir Arafat.

Namun begitu, keamanan tidak pernah dapat dicapai kerana pihak rejim Zionis Israel sentiasa mencari peluang untuk menceroboh, merampas dan menghalau penduduk Palestin dari tanah mereka sendiri.

Rumah orang awam, masjid, sekolah dan hospital sering dijadikan sasaran terancang oleh tentera Israel yang dikenali sebagai Israel Defense Force (IDF).

Ternyata penyelesaian two state solution ini bukanlah satu langkah yang berkesan, kerana Zionis Israel tetap tidak akan mematuhi apa jua perjanjian. Niat mereka hanya satu, tawan seluruh tanah Palestin, usir dan bunuh semua rakyatnya.

Baru-baru ini di penghujung bulan Ramadan, Zionis Israel telah menyerang umat Islam yang beribadah di Masjid Al-Aqsa. Hasil serangan ini telah mencetuskan beberapa siri serangan terhadap Palestin yang sehingga kini menyebabkan lebih 132 orang rakyat Palestin terbunuh, termasuk 32 orang kanak-kanak dan 21 orang wanita.

Isu Palestin ini ternyata bukan isu agama semata-mata. Ini adalah isu kemanusiaan. Ia adalah tragedi bagi Palestin, sebuah negara yang merdeka, tetapi kebebasannya telah diragut oleh sekumpulan fasis Zionis Israel yang tamak dan kejam.

Setiap kali isu Palestin dibicarakan di dalam media, ia merobek hati saya. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan rakyat Palestin pada ketika ini, terutamanya dari kalangan wanita dan kanak-kanak dalam menghadapi perkara ini.

Sungguhpun sentiasa dibuli oleh Israel, semangat juang rakyat Palestin tetap utuh, bukan sahaja lelaki-lelaki Palestin bangkit melawan, wanita dan kanak-kanak juga terus bersemangat menentang kekejaman Israel.

Pada tahun 2009, saya berkesempatan untuk menyertai satu misi bantuan oleh sebuah NGO ke Palestin. Di sana sempat saya bertemu dengan beberapa pemimpin wanita Palestin dan juga wanita dari kalangan orang awam. Para wanita dan gadis Palestin rata-rata mempunyai semangat, daya intelektual dan berpendidikan tinggi.

Berada dalam kepungan musuh tidak sedikit pun menggugat keberanian dan iman mereka. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan bertahun lamanya, mereka tetap mempunyai iltizam dan berusaha keras untuk membebaskan diri mereka dari cengkaman penjajahan Israel.

Seruan Intifada atau “kebangkitan” yang bermula pada awal 1980an sehingga era 2000 menunjukkan wanita dan kanak-kanak di Palestin turut terlibat secara langsung dalam perjuangan melawan keganasan rejim Zionis Israel.

Boleh dikatakan, sejak dari awal mula Intifada berlangsung, wanita merupakan tulang belakang pergerakan tersebut. Pemimpin-pemimpin wanita Palestin yang menjadi pencetus kepada demonstrasi, mogok pekerja dan memboikot barangan keluaran Israel, telah membuka mata dunia untuk bersama-sama menentang keganasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap Palestin.

Akibat daripada tindakan ini, ia memberikan tekanan kepada ekonomi Israel dan meletakkan negara haram itu dalam situasi sukar, yang mana masyarakat antarabangsa turut bersama mengecam tindakan regim Zionis tersebut.

Wanita Palestin juga bertanggungjawab menggerakkan ekonomi secara koperasi, menguruskan klinik-klinik kesihatan, sekolah dan membantu untuk menampung perjuangan bersenjata yang digerakkan oleh kaum lelaki Palestin.

Penglibatan wanita Palestin ini memberikan kesan yang cukup mendalam kerana setiap aspek pergerakan perjuangan ini diuruskan dengan baik oleh para wanita Palestin, yang begitu teliti dalam menguruskan sumber dan memainkan peranan sangat besar kepada penentangan terhadap kekejaman Israel.

Sehingga kini, sungguhpun rejim Zionis Israel dengan senjata yang canggih dan menerima sokongan daripada negara-negara barat, mereka tetap gagal untuk menguasai keseluruhan tanah Palestin. Ini adalah bukti bahawa walaupun berhadapan dengan cabaran yang begitu besar, Palestin masih lagi berpeluang untuk mengecapi kemenangan.

Sejak dari dahulu sehingga kini, Kerajaan Malaysia tetap berpegang dengan prinsip untuk terus menyokong Kerajaan Palestin dan rakyatnya. Sungguhpun kita belum lagi mampu untuk membantu dari aspek ketenteraan, bantuan kemanusiaan dan sokongan dari segi peningkatan ekonomi tetap diberikan kepada Palestin.

Sokongan ini akan terus diberikan, selagi mana Palestin belum mencapai kemenangan dan rejim Zionis Israel tidak lenyap dari muka bumi ini. Saya menyeru agar rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada seluruh rakyat Palestin. Teruskan berdoa, agar mereka selamat dan Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada mereka.

YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan
Ahli Parlimen Ampang
Presiden COMWEL Malaysia – HARAKAHDAILY 16/5/2021