NGO Kristian seru dunia hentikan penjajahan Israel

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Generasi Baru Kristian Malaysia (ANCOM) terus menerus menyuarakan ketegasannya supaya rakyat Palestin diberikan keadilan dari pelanggaran hak-hak dan prinsip kemanusiaan oleh Israel.

Organisasi Kristian ini terus komited menyatakan kecaman kerasnya kepada tindakan pihak Israel terhadap umat Islam yang sedang menunaikan solat di Masjid al-Aqsa dan serangan udara serta pengeboman berterusan.

Pengerusi ANCOM, Joshua Hong menyatakan, selama lebih dari seminggu, pasukan Israel telah melakukan serangan sistematik ke atas penduduk Palestin di Jerusalem Timur, terutama di lingkungan Sheikh Jarrah yang diancam pengusiran.

“Ratusan orang Palestin cedera akibat tembakan atau pukulan teruk oleh pasukan Israel yang juga menahan rakyat Palestin. Memburukkan lagi keadaan, pasukan Israel meningkatkan gerakan agresif mereka di Jerusalem dan menyerbu Masjid Al-Aqsa.

“Kini melakukan serangan udara dan pengeboman yang membunuh banyak orang awam yang tidak bersalah di di wilayah Gaza, Palestin,” ujarnya.

Manakala Penasihat ANCOM, Jason Leong turut mengecam Israel yang disifatkannya sebagai kuasa penjajah yang berkelakuan tidak berperikemanusiaan dan penyangak serta melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Setiap tahun, Ramadan di Palestin dicemari oleh kejahatan dan pelanggaran terang-terangan oleh Israel secara sengaja terhadap rakyat Palestin, termasuk pembunuhan dan kecederaan orang awam, penyerbuan rumah, pemindahan paksa.

“Juga penodaan tempat suci secara keji, serangan ganas oleh pelampau penjajah yang telah semakin menjadi-jadi. Keganasan seperti itu hanya merosakkan kehidupan rakyat Palestin dan hak mereka.

“Kami meminta masyarakat antarabangsa untuk menghentikan bahaya keganasan ini, melindungi hak rakyat Palestin dan menjamin hak mereka untuk mempraktikkan upacara keagamaan mereka, selain menghentikan semua pelanggaran, serangan dan segala bentuk keganasan,” tegasnya.

Katanya, tuntutan ini selaras dengan resolusi 2334 (2016) Majlis Keselamatan PBB, di mana dengan tegas mengutuk semua tindakan yang bertujuan mengubah komposisi demografi, watak dan status Wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.

Termasuk ujar beliau, di Jerusalem Timur, antara lain pembinaan dan pengembangan penempatan, pemindahan penduduk Israel, penyitaan tanah, perobohan rumah dan pemindahan penduduk awam Palestin yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi berkaitan.

ANCOM menurut mereka, bersolidariti dengan semua rakyat Palestin dan saudara-saudara Islam di Malaysia dan di seluruh dunia serta menyeru untuk menghentikan penjajahan perang selama 54 tahun Israel.

Juga termasuk segala sekatan massa, diskriminasi sistemik, perubahan demografi, pemindahan paksa, dan penolakan hak-hak rakyat Palestin, malah berkait kewujudan mereka di tanah air tersebut.

“Sudah terlalu lama, banyak pihak yang memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat yang ditindas di seluruh dunia, tetapi gagal menerapkan hak dan prinsip yang sama kepada rakyat Palestin,” kesali Joshua dan Jason. – HARAKAHDAILY 13/5/2021

Advertisement