Cukup-cukuplah memutar belit

- Advertisement -

APA yang merupakan penulisan ilmiah berkenaan pengasingan kuasa dalam Islam di bawah tajuk: ‘Fiqh Politik – Pengasingan Kuasa dan Pengawasan’ oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah diputar-belit sehingga menggambarkan seolah Tuan Guru mengancam dan memberi amaran kepada kakitangan kerajaan keseluruhannya agar meletak jawatan jika tidak menerima Kerajaan PN.

Beberapa portal berita yang condong pembangkang meratah kesempatan dengan memberikan gambaran sedemikian antaranya Malaysiakini membawa tajuk ‘Letak jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan PN – Hadi Awang’. Berita Harian pula membawa tajuk ‘Letak jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan, kata Hadi Awang’.

- Advertisement -

Memang masing-masing bebas terbit dengan tajuk masing-masing apatah lagi nak meraih untung dan hits yang tinggi namun seringkali juga kerana memiliki agenda tertentu, tajuk digunakan sebagai senjata untuk membunuh kandungan asal yang membawa maksud yang berbeza. Bayangkan dari tajuk asal Pengasingan Kuasa telah diolah menjadi ancaman kepada pegawai kerajaan agar meletak jawatan.

Tuan Guru berhujah panjang menerangkan konsep pengasingan kuasa atau separation of powers yang merupakan doktrin yang diamalkan oleh negara-negara demokrasi yang mana menurutnya telah sesungguhnya diamalkan oleh Islam terlebih dahulu bermula zaman pemerintahan Rasulullah S.A.W dan dituruti para Khulafa’ al Rasyidin R.A dan zaman seterusnya.

Penulisannya sarat dengan rujukan dan telah memetik dua ayat al-Quran, satu Riwayat Hadis dan tulisan Imam al-Ghazali dalam kitabnya al Iqtisad fi al I’tiqad selain peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W, Khalifah Abu Bakar R.A dan Uthman bin Affan R.A.

Hujah-hujahnya menjadi justifikasi apabila Tuan Guru menyebut: ‘Begitulah mereka yang menyokong PH dan berada dalam Kerajaan PN tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi.’ Adakah itu satu ancaman atau dapatan yang rasional dan amalan di mana-mana negara demokrasi pun?

Munasabahlah kakitangan kerajaan tidak bermain politik dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing tetapi taat pada kerajaan yang memerintah atau ‘Government of the day’. Cenderung dan taksub bagaimana sekalipun seorang pegawai atau kakitangan kerajaan pada PH contohnya, tetapi apabila PH kecundang dan kini ada kerajaan baru, ketaatan patut diberikan pada kerajaan yang baru tidak lagi pada pimpinan PH yang telah hilang kuasa.

Sebagaimana Tuan Guru sebut: ‘Mengikut peraturan pegawai yang dikekalkan itu mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.’

PH tidak perlulah buat-buat alim takut mereka lupa yang PAS pernah bersama mereka dalam beberapa buah kerajaan negeri termasuk Selangor. Ada pegawai-pegawai kerajaan negeri yang ditukar dan di ‘sejuk bekukan’ oleh pimpinan parti satu ketika apabila mereka mengesyaki yang pegawai-pegawai demikian kononnya pro BN.

Semasa saya ahli majlis di sebuah PBT di Selangor seorang Exco DAP berkeras mahu tukarkan seorang Pengarah kerana kononnya tidak menghormatinya dan pro Umno dan Pengarah itu pun ditukar.

Apa pun isu pengasingan kuasa yang diketengahkan oleh Tuan Guru ini memang merupakan satu cabaran dan kerajaan yang ada bertanggungjawab memastikan ianya diamalkan sebaik-baiknya tambahan menepati kehendak Islam.

Para pegawai dan kakitangan kerajaan berhak menyokong mana-mana parti politik tetapi semasa menjalankan tugas mereka, perlulah amanah dan profesional. Jangan jadi api dalam sekam. Salahkah kalau ditegur begitu?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -