Perang Tabuk serlah keikhlasan para sahabat

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -


- Advertisement -

PERISTIWA Perang Tabuk juga berlaku pada bulan Ramadhan. Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, sekali gus memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu.

Lantas Hercules, Maharaja Rom Timur (Byzantine) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan menyerang utara Tanah Arab.

Apabila berita itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad SAW, Baginda SAW mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip sumbangan derma.

Pada masa itu, Semenanjung Tanah Arab mengalami musim panas dan kesusahan, kebun tamar pula sedang berputik yang perlu penjagaan.

Tambahan pula jarak antara Kota Madinah dengan Tabuk yang cukup jauh. Iman umat Islam ketika itu benar-benar teruji.

Namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW sendiri memimpin tentera seramai 30,000 orang ke utara Madinah.

Rasulullah SAW berada di Tabuk pada 26 Ramadhan tahun 9 Hijrah. Baginda SAW bersama tentera Islam bergerak meninggalkan Kota Madinah pada bulan Rajab dan tiba di Tabuk pada bulan Sya’ban. Peristiwa ini sangat penting dalam lipatan sejarah dunia.

Buah-buahan mula menunggu masa masak untuk dipetik menjadi rezeki sara hidup mereka. Allah SWT berfirman mendedahkan sifat orang-orang munafiq yang berpura-pura Islam dan didedahkan sifat orang yang ikhlas beriman sebenar-benarnya:

(لَوۡ كَانَ عَرَضࣰا قَرِیبࣰا وَسَفَرࣰا قَاصِدࣰا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَیَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ یُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَـٰذِبُونَ)

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu’. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” [Surah al-Taubah: 42]

Peristiwa bersejarah ini menyerlahkan kekuatan tentera Islam yang menyerahkan harta dan diri mereka untuk Islam.

Mereka sedikit pun tidak beralasan mengelakkan diri daripada menyumbang walaupun kemarau melanda membahangi mereka. Sebaliknya mereka berlumba-lumba menyumbangkan harta masing masing.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA menyerahkan seluruh hartanya, Saidina ‘Umar bin al-Khattab RA pula menyumbang separuh daripada hartanya dan Saidina ‘Uthman bin Affan RA yang kaya menyumbangkan terlalu banyak sehingga Rasulullah SAW berdoa supaya Allah SWT meredhainya sepanjang malam.

Orang yang miskin juga ada yang menyumbang walaupun sedikit sekalipun diejek oleh orang-orang munafiq. Manakala orang yang terlalu miskin, ada yang menangis kerana tiada harta dan kenderaan bagi menyertai misi tentera Islam ke Tabuk. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -