COVID-19: Umat Islam sedih, namun terpaksa akur

- Advertisement -

RAUB: Jangkitan COVID-19 secara mendadak berpunca daripada majlis sosial telah menyebabkan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi daerah ini sejak hujung bulan lalu hingga 13 Mei.

- Advertisement -

Namun, status Zon Merah itu tidak meredakan jangkitan yang telah berlaku dalam komuniti, menyebabkan banyak lokaliti dalam daerah ini terpaksa diletakkan dalam PKP Diperketatkan (PKPD) bermula kelmarin.

Pengumuman PKPB sejak awal lagi itu telah menyebabkan arahan yang meliputi penutupan Masjid Tengku Abu Bakar, Masjid Sultan Abu Bakar dan Masjid Mahabah serta 17 surau utama di sekitar Bandar Raub.

Arahan yang sekali gus menghentikan aktiviti solat tarawih dan solat berjemaah termasuk solat Jumaat menjelang masuknya 10 malam terakhir Ramadan ternyata amat mendukacitakan umat Islam warga penduduk tempatan.

Namun, arahan tersebut perlu dibuat berikutan kes aktif di banyak taman perumahan dan perkampungan yang antara punca dikesan adalah kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf mengakui keadaan tersebut telah menyebabkan kesusahan dan kerugian dialami oleh ramai penduduk di mana ia sepatutnya boleh dielakkan.

Pun begitu, profesional perubatan ini berharap penduduk menerima hakikat dengan bersabar untuk menghadapi cabaran itu dan bersama berusaha mencegah kebolehjangkitan dengan tidak mementingkan diri.

“Sentiasa mendapatkan maklumat terkini yang sahih dan tidak menyebarkan berita tidak sahih. Di samping itu sentiasa berdoa dan bertawakal semoga Allah S.W.T permudahkan segalanya,” ujar beliau.

Hingga terkini, empat kluster baharu dilaporkan di mana kes positif baru di negeri ini menjadikan Pahang merekodkan 5,789 kes dengan Kuantan, Bentong dan Raub kekal dalam Zon Merah setakat semalam.

Pendekatan pihak berkuasa supaya tempat yang melibatkan himpunan ramai menghentikan aktiviti itu bagaimanapun adalah labgkah tepat bagi membendung kebimbangan kemungkinan penularan.

“Umat Islam kembali bersedih kerana tiba-tiba terpaksa menghentikan aktiviti di penghujung Ramadan yang sangat dinanti-nantikan. Semua aktiviti masjid dan surau dihentikan serta-merta.

“Walaupun pelbagai perancangan diatur untuk mengisi 10 malam terakhir Ramadan, tetapi akhirnya kita terpaksa akur,” ujar Dr Nilam lagi. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -