Nota dari Hospital Sungai Buloh

- Advertisement -

ASSALAMUALAIKUM! Apa khabar semua, Alhamdulillah saya doakan semua mendapat kesihatan yang baik dan dijauhi wabak COVID-19. Alhamdulillah semua kontak rapat saya termasuk keluarga semuanya negatif. 

Saya telah disahkan positif COVID-19 setelah membuat Swab Test PCR kerana menjadi kontak rapat dan mengalami simptom serangan COVID-19 pada 28 April, sempat self kuarantin di rumah selama dua hari. 

Pada 30 April pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghubungi saya dan memaklumkan untuk membawa saya ke pusat kuarantin di MAEPS, sejak hari pertama sehingga 6 Mei saya mengalami simptom yang agak teruk, demam, muntah, sakit-sakit badan, batuk, dan cirit-birit.

- Advertisement -

Saya telah dibawa ke emergency dan keputusan X-ray mendapati paru-paru saya sudah diserang COVID-19 dan ada kesan bengkak. Pihak MAEPS membuat keputusan menghantar saya ke Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan yang rapi berkaitan oksigen dan kuman dalam darah yang agak kuat.

Buat seluruh rakyat khususnya yang berada dalam Negeri Selangor. Saya mohon kepada kita semua dapat bersama berhenti mempolemikkan isu COVID-19 ini dengan satira, perli dan sindiran. Saya memerhatikan barisan hadapan kita begitu penat dan mereka perlukan sokongan kita. Dalam tempoh PKP yang diumumkan oleh Kerajaan, saya merayu kepada semua, tidak terkecuali sesiapa pun agar patuhi SOP yang telah ditetapkan. 

Stay at homeinsya-Allah kita bantu sesama kita. Bagi yang masih belum berdaftar sebagai penerima vaksin, saya sarankan mulakanlah. Dahulu kita hanya mendengar mereka yang berumur 50 tahun ke atas yang berpotensi dengan serangan COVID-19, namun kini COVID-19 semakin ganas, ramai umur 30-an seperti saya juga berada di Unit Rawatan Rapi. 

Ayuh kita berhenti seketika menyalahkan, menyindir, dan memerli serta mencari populariti dalam suasana pandemik yang kuat melanda negara kita. Insya-Allah, Allah akan berikan rezeki kepada kita, tuan-tuan jangan bimbang. Cuma mungkin kita tidak semewah sebelum ini, masa ini Allah menguji kita.

Terima kasih kepada semua, yang menghantar mesej dan doa kepada saya, semoga Allah berkati kalian semua, insya-Allah

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Wad 5A 
Hospital Sungai Buloh – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -