Hari raya yang mesra alam: Nasi impit dalam kain

- Advertisement -

HARI ini terdapat pelbagai jenama nasi impit segera. Kita perlu hanya merebus kampit plastik yang di dalamnya terdapat beras untuk mendapatkan nasi impit yang boleh terus dimakan. Tidak perlu menyukat beras dan sesiapa sahaja boleh melakukannya.

Tetapi saya masih ingat ketika masih kecil sebelum adanya nasi impit di dalam plastik. Nenek saya akan memasak nasi impit dengan merebus beras di dalam kain. Kain putih akan dijahit seperti stokin dan akan diisi dengan beras kemudian direbus. Jahitan akan dibuka setelah dimasak untuk mengeluarkan nasi impit yang telah siap. Kain ini boleh diguna semula.

- Advertisement -

Di dalam dunia yang menyedari akan kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar dan hidupan, penyediaan nasi impit menggunakan kain adalah satu alternatif ketika sambutan 1 Syawal. Tetapi sudah tentu jika anda memasak ketupat nasi daun kelapa atau ketupat pulut daun palas ianya lebih mesra kepada alam sekitar.

Kita semua sedia maklum bagaimana kesan plastik kepada alam sekitar dan ekosistem justeru itu seboleh-bolehnya perlu dielakkan. Plastik mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk terurai. Beg plastik mengambil masa dari 10 tahun hingga 1,000 tahun. Botol plastik sehingga 450 tahun. Ia masih berada di atas muka bumi ini walaupun di zaman cicit kepada cicit kita. Sebab itu negara-negara maju menghantar sampah mereka termasuk plastik ke negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia. Jika ia tidak akan menimbulkan masalah sudah tentu mereka akan menyimpannya di negara mereka dan tidak akan menghantarnya beribu-ribu batu ke luar negara.

Terdapat banyak alternatif kepada plastik. Jika pergi membeli-belah untuk persiapan Hari Raya, bawalah beg sendiri. Datuk dan nenek kita pernah membawa bakul atau raga apabila ke pasar. Gunakan bekas kaca. Bungkuslah dengan kertas kerana kertas hanya mengambil masa 2 hingga 6 minggu untuk terurai. Jika ada sapu tangan kenapa perlu gunakan tisu? Elakkan juga pembungkus atau bekas pakai buang walaupun pengeluarnya mendakwa ia mesra alam kerana ia hanya akan menambah timbunan di tapak pelupusan sampah. Lebih bahaya jika ia terbuang ke dalam longkang kemudian ke sungai dan akhirnya ke laut. Bayangkan kesannya kepada hidupan-hidupan seperti ikan dan penyu jika dimakan.

Hari Raya tahun ini juga akan dirayakan seperti tahun lepas iaitu ketika pandemik COVID-19. Sudah tentu dengan pelbagai SOP yang dikuatkuasakan ini bermakna amalan kunjung mengunjung adalah terhad. Justeru itu janganlah kita menyediakan hidangan Hari Raya seperti sebelum pandemik. Anda perlu merancang agar tidak berlaku pembaziran. Kita sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentukan maka eloklah kita berjimat untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam tahun lepas, lebih 16,667.5 tan metrik makanan yang terbuang setiap hari. Dari jumlah tersebut 44.5 peratus adalah dari rumah-rumah kediaman. Yang paling mengejutkan pula 24 peratus dari makanan yang terbuang atau 4,005 tan metrik masih boleh dimakan. Ia mampu menampung keperluan makanan satu hari untuk 2.9 juta rakyat Malaysia iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Di negara seperti Filipina, terdapat mereka yang memungut sisa-sisa makanan di tapak-tapak pelupusan sampah untuk dimasak semula dan dijual. Sisa-sisa makanan ini yang dinamakan ‘Pagpag’ dalam Bahasa Tagalog dimakan oleh golongan miskin tegar di negara tersebut. Kita bersyukur rakyat Malaysia tidak perlu memakan sisa-sisa yang dibuang justeru itu jangan pula kita membazir.

Di dalam al-Quran mereka yang membazir disebut sebagai saudara-saudara syaitan. Allah S.W.T berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 56 bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Pembaziran adalah satu perkara yang serius. Di pagi Hari Raya sekiranya berkesempatan untuk menunaikan solat sunat Hari Raya, lebih baik jika berjalan kaki. Orang Malaysia agak pelik. Mereka bersusah payah berbasikal dan berjoging untuk kesihatan tetapi mereka tidak mahu berjalan kaki walaupun ke destinasi yang dekat. Walaupun satu hari namun ia merupakan satu sumbangan yang besar terhadap usaha mengurangkan pencemaran dan juga yang paling penting ke arah perubahan sikap.

Pelepasan hasil dari pembakaran bahanapi fosil (fossil fuel) merupakan di antara punca utama pencemaran udara. Kenderaan yang kita pandu atau naiki melepaskan bahan-bahan pencemar seperti karbon monoksida, nitrogen dioksida dan bahan-bahan toksik yang lain. Pemanasan global akibat paras suhu bumi yang meningkat dan seterusnya perubahan iklim boleh berlaku akibat pelepasan karbon dari kenderaan kita.

Hari Raya merupakan satu titik penting untuk mengubah sikap kita. Tetapi ia bukan bermakna untuk meningkatkan amal ibadat khusus kita atau memperbaiki akhlak kita sahaja. Kita perlu juga lebih prihatin terhadap alam sekitar. Sama ada disedari atau tidak kita terlalu banyak membuat kerosakan di atas muka bumi ini. Walhal Allah S.W.T telah berfirman di dalam al-Quran surah Al A’raf ayat 56:

“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya.”

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -