Dunia! Saksikan sikap Israel

- Advertisement -

TINDAKAN anggota tentera Zionis Israel yang telah menyerang ratusan rakyat Palestin di perkarangan masjid al-Aqsa pada Jumaat lalu adalah satu tindakan yang sangat terkutuk. Walaupun belum diketahui punca pertempuran yang berlaku itu tetapi tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan. Lebih-lebih lagi perkara itu terjadi ketika rakyat Palestin sedang menunaikan solat Terawih.

Isu ini menjelaskan lagi kepada dunia bahawa Israel memang tidak ada tamadun dan bersikap biadab. Sikap mereka yang sukakan kepada kezaliman dan pengkhianatan boleh dilihat dan dinilai melalui kejadian yang telah berlaku di al-Aqsa. Lebih zalimnya lagi, mereka menyerang pada ketika umat Islam sedang beribadah untuk bulan Ramadan. Tetapi disebabkan Israel ini bersikap kurang ajar, mereka menyerang tanpa ada rasa belas kasihan.

- Advertisement -

Apa yang dilakukan mereka itu sudah jelas, itulah perilaku sebenar Israel. Kerana sikap mereka ini, negara-negara luar sepatutnya tidak boleh berkompromi lagi dengan mereka terutama Amerika Syarikat yang menjadi tulang belakang kepada kejahatan jenayah Israel ini.

Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin menyeru kepada semua Negara Islam dan khususnya rakyat Malaysia terutama umat Islam untuk serentak bangkit dan memberikan signal penentangan kepada sikap kebiadaban Israel ini. 

Dewan Muslimat PAS Malaysia turut menyeru kepada umat Islam seluruh negara untuk bermunajat kepada Allah S.W.T supaya diberikan perlindungan dan kesejahteraan kepada rakyat Palestin serta dihapuskan sikap kebiadaban tentera Zionis Israel. 

“Pray For Palestin”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
10 Mei 2021 | 28 Ramadan 1442H – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -