Akhirnya Tun M letak Ku Li di kandang pesalah?

- Advertisement -

BEGITULAH jika sifat bekerjasama ini hanya kerana ada kepentingan, maka ia akan terlondeh juga niat sebenarnya dalam bekerjasama.

Seperti yang diduga, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan musuh ketatnya sejak sekian lama iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bukan boleh bersama dalam jangka masa yang lama.

Tahun lalu mereka duduk semeja semasa sidang media sebelum Parlimen membahas dan meluluskan Belanjawan 2021, di mana belanjawan ketika itu adalah yang paling kritikal sifatnya apatah lagi negara berdepan pandemik Covid-19 yang meruncing antara lain menyebabkan ekonomi rakyat dan negara amat-amat berat.

Kehidupan rakyat ketika ini dan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi, sebenarnya berada dalam keadaan yang amat tidak menentu.

Bagi yang dibuang kerja maka sedikit sebanyak bantuan kerajaan Perikatan Nasionallah (PN) tempat mereka sedikit menghela nafas lega.

- Advertisement -

Namun situasi politik di negara ini banyak dikucar-kacirkan oleh politikus yang setiap hari mahu meratib kuasa, mahu menjatuhkan kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan pelbagai cara.

Pada Khamis, bekas Perdana Menteri 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan kerjasamanya dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah bagi menarik sokongan Ahli Parlimen Umno gagal.

Dalam satu wawancara di Malaysiapost, Mahathir mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang itu gagal mempengaruhi cukup Ahli Parlimen Umno untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Pengakuan itu berkaitan sidang medianya dengan Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, pada 14 Disember lalu yang menimbulkan kejutan.

Apatah lagi sidang media itu umpama time bomb tatkala kerajaan PN amat getir membawa harapan rakyat yang perlukan bantuan di mana Belanjawan 2021 yang perlu diluluskan.

“Tengku Razaleigh ini ada pengaruh dalam Umno, kalau dia boleh tarik dua tiga orang keluar (tidak menyokong kerajaan PN) seperti dia (maka) jatuh kerajaan, tetapi dia tidak berjaya tarik.

“Jadi saya bersama dengan dia (ketika itu) kerana dia kata boleh tarik sebahagian orang Umno tetapi tiada orang Umno nak keluar.

“Tiada siapa pun nak tinggal jawatan lumayan ini. Kawan dia atau orang yang dekat dengan dia tiada seorang pun, jadi dia tinggal seorang sahaja,” katanya Dr Mahathir dalam laporan Malaysiapost.

Sidang media bersama dua tokoh yang pernah berseteru itu dibuat sehari sebelum bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Ia dilihat sebagai usaha terakhir untuk menggagalkan RUU itu di Dewan Rakyat sekali gus membuktikan kerajaan PN tiada majoriti.

Ketika itu, Ku Li berkata negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh berbanding PN.

Hakikatnya yang tergambar, Tun Mahathir dan Ku Li sanggup bersama dalam satu pakatan ‘rapuh’ dalam memastikan usaha menggagalkan Belanjawan seterusnya menjatuhkan kerajaan PN menjadi kenyataan.

Cuma ketika itu arus sokongan terhadap Tun Mahathir tidak menyebelahi bekas PM dua kali itu, lantas semasa pembentangan Belanjawan 2021, Mahathir dan pakatannya dilihat sebagai khianat kepada amanah dan harapan rakyat.

Hari ini terdedah usaha ‘khianat’ dua tokoh yang sebelum ini berbalah sejak tahun 80-an lagi yang mana mereka berdua ini juga penyebab Umno dalam gerhana ketika itu.

Benar mereka boleh bersatu seketika tetapi jika kedua-dua mereka ini ada niat yang bertentangan sebenarnya, maka dengan sendirinya isu perancangan khianat mereka terdedah, itupun didedah Tun Mahathir sendiri hingga menggambarkan besarnya pengkhianatan Ku Li yang diminta mempengaruhi wakil rakyat Umno menyokong agenda mereka.

Maka berseterulah mereka berdua kembali selepas Tun Mahathir membuka pekung seolah-olah meletakkan Ku Li di kandang pesalah. – HARAKAHDAILY 8/5/2021

- Advertisement -