Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah: Simbol jihad rakyat Mesir

- Advertisement -

KALI pertama saya mendengar nama tokoh ini ketika remaja melalui ayahanda Tuan Guru yang menceritakan kisah keberanian dan kehebatannya menentang tentera Israel dalam Perang Ramadan atau Oktober antara tentera Mesir dan Israel.

Namun pada 26 April 2021, tarikh yang cukup sedih buat rakyat Mesir dan umat Islam umumnya apabila Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah, pemimpin Al Hidayatul Islamiyyah dan pejuang ulung dalam kalangan rakyat Mesir telah kembali ke rahmatullah akibat komplikasi Covid-19 di Hospital Ahmed Shawky, Kaherah pada umur 96 tahun.

Pemergiannya diratapi dengan penuh kesedihan kerana ketokohan dan jasa beliau yang sangat besar dalam perjuangan dan penentangan terhadap penjajah British dan Israel khususnya.

- Advertisement -

Ribuan pengikutnya mengiringi jenazah allahyarham ketika pengebumiannya di bandar As Salam, di wilayah Suez termasuk para pemimpin politik Mesir dan tempatan serta Gabenor Suez, Abdel Magid Saqr yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.

Ketokohan dan perjuangan allahyarham mendapat liputan meluas akhbar dan portal media di Mesir minggu lalu tetapi tidak di akhbar dan portal media lain di dunia membuatkan ramai anak muda dan pencinta Islam begitu berminat untuk mengenali dengan lebih dekat sosok tubuh allahyarham semasa hayatnya yang begitu dekat di hati rakyat Mesir dan Palestin.

Sejarah awal Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah dilahirkan pada 6 Disember 1925 yang mana ketika itu Mesir berada di bawah penjajahan British. Mendapat pengajian awal dalam bidang agama, allahyarham seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar dalam bidang syariah dan kesusasteraan. Kemudian allahyarham menjadi pensyarah di Universiti Al-Azhar sebelum menjadi penasihat kepada Syeikh Al-Azhar sehingga tahun 1978 dan bersara selepas itu.

Awal penglibatannya dalam politik dan perjuangan, Syeikh Hafez Ali Ahmed Salama menyertai kumpulan Muhammad Shabab, sebuah kumpulan yang diasaskan oleh sekumpulan pejuang yang meninggalkan Ikhwanul Muslimin dan Young Egypt Party pada tahun 1948 di mana organisasi tersebut memperjuangkan pembebasan Mesir dari penjajahan British.

Namun pada tahun yang sama penyertaan Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah ke dalam kumpulan Muhammad Shabab, negara haram Israel ditubuhkan menyebabkan Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah ingin sama menyertai para pejuang jihad ke Palestin menentang militia zionis untuk membebaskan Palestin namun dihalang oleh kepimpinan Muhammad Shabab kerana berpendapat musuh sebenar berada di Mesir.

Beliau kemudiannya menubuhkan satu divisyen tentera di wilayah Suez di mana misi utamanya adalah untuk menyerang pengkalan tentera British yang berada di wilayah Suez dan merampas senjata serta peralatan ketenteraan untuk dibekalkan kepada para pejuang yang berada di Palestin menentang militia zionis.

Pada tahun 1950, Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah telah ditangkap kerana artikelnya dalam akhbar Al-Nadhir yang mengkritik pemakaian wanita dalam Persatuan Bulan Sabit Merah di Mesir yang menyalahi etika pemakaian Islam namun dibebaskan tidak lama selepas itu.

Revolusi di Mesir pada tahun 1952-1953 menyaksikan Muhammed Naguib dan Gamal Abdel Naser berjaya menumbangkan Raja Farouk dan Dinasti Muhammad Ali yang memerintah Mesir dan Sudan sejak kurun ke-19. Beberapa tahun selepas itu, Gamal Abdel Naser mengeluarkan arahan membubarkan organisasi Muhammad Shabab dan akhbarnya dengan memberikan alasan ia mengeruhkan hubungan Soviet Union dan Mesir.

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah di kemuncak perjuangannya

Januari 1954, Ikhwanul Muslimin diharamkan di Mesir oleh Muhammed Naguib yang merupakan Presiden Mesir ketika itu. Selepas protes besar-besaran pada 1954 yang menyaksikan Muhammed Naguib ditumbangkan sebagai Presiden Mesir dan diangkat Gamal Abdel Naser sebagai Presiden baharu, berlaku cubaan bunuh ke atas Gamal Abdel Naser yang selepas itu menyaksikan berlaku tangkapan besar-besaran ke atas anggota Ikhwanul Muslimin dan kumpulan-kumpulan yang seangkatan dengannya.

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah turut ditangkap dan dipenjarakan sehingga tahun 1967 sebelum dibebaskan pada Disember 1967. Selepas dibebaskan, beliau pulang ke wilayah Suez dan menubuhkan Al-Hidayatul Islamiyyah bertujuan mengumpulkan pejuang untuk menentang tentera Israel dalam ‘Perang 1,000 hari’ yang berlangsung dari tahun 1967-1970 iaitu perang antara Mesir-Israel di sekitar Terusan Suez.

Beliau memainkan peranan penting dalam perang tersebut setelah kekalahan dalam perang Arab-Israel pada tahun 1967 dengan menaikkan semangat dan moral tentera Mesir dan para pejuang dengan menggesa para kepimpinan tentera Mesir menanamkan kesedaran agama dalam kalangan para anggota tentera di samping menyedarkan kepentingan jihad menentang zionis Israel.

Peranan penting Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah penting oleh kepimpinan tentera Mesir dan turut disokong oleh para ilmuan, agamawan dan professor dari Universiti Al Azhar seperti Sheikh Al-Azhar Abdel Halim Mahmoud, Sheikh Muhammad Al Ghazali, Sheikh Hassan Maamoun, Dr. Muhammad Al Faham, Sheikh Abdel Rahman Basyar dan ramai lagi.

Malah Mejar Jeneral Abdel Moneim Wasel, Komander tentera Mesir ketika itu turut menyatakan bahawa Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah adalah orang yang pertama wajar diberikan penghargaan kerana menaikkan semangat dan moral tentera dan para pejuang Mesir dalam peperangan tersebut dan ramai dalam kalangan kami menggangap beliau sebagai bapa ketika saat sukar tersebut.

Perang tersebut berakhir dengan perjanjian damai ‘Roger Initiative’ yang diusahakan Amerika Syarikat setelah melihat ia tidak memihak kepada Israel dan juga untuk menghalang Soviet Union dalam meluaskan pengaruhnya di Asia Barat berikutan sokongan Soviet Union terhadap Mesir dalam perang tersebut termasuk juga kelengkapan tentera Mesir yang dibekalkan oleh Soviet Union.

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah juga memainkan peranan penting ketika perang Arab-Israel pada tahun 1973 apabila tentera Israel cuba menyusup masuk melalui barat Terusan Suez berdekatan Ismailia untuk menyerang tentera dan pejuang Mesir dengan tujuan untuk menghampiri Kaherah dan merampas bandar di sekitar Terusan Suez atas arahan Amerika Syarikat.

Jeneral Adan yang memimpin tentera Israel ketika itu memberikan kata dua kepada Gabenor Suez untuk menyerah kalah atau berhadapan dengan kemusnahan bandar Ismailia di wilayah Suez dengan serangan tentera udara Israel.

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah, para pejuang dan penduduk di Terusan Suez enggan menyerahkan bandar Ismailia di wilayah Suez di mana kemudiannya mereka berkumpul di Masjid Shuhada, Ismailia yang mana dimimbar masjid berkenaan, Syeikh Hafez Ali Ahmed Salama mengumumkan penentangan terhadap Israel dan berikrar untuk mempertahankan bandar Ismailia dan bandar-bandar lain di wilayah Suez bersama-sama para pejuang dan penduduk wilayah Suez.

Tentera Israel menggempur wilayah Suez melalui darat dan serangan udara yang bertali arus dengan lebih 200 kereta kebal, satu batalion tentera payung terjun, dua batalion tentera darat bersama kereta perisai mula memasuki bandar Ismailia di sebalik ketetapan Majlis Keselamatan PBB ketika itu supaya mematuhi perjanjian damai yang telah ditandatangani.

Berlaku penentangan hebat daripada Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah dan para pejuangnnya hingga mengakibatkan kekalahan teruk ke atas tentera Israel yang mengorbankan ratusan dan mengakibatkan 76 kereta kebal tentera Israel musnah. Isa dianggap kekalahan paling teruk buat infantri kereta kebal Israel dalam sejarah.

Leftenan Jeneral Saad Al Din Al Shazli, Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir ketika itu memberikan penghormatan tertinggi buat Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah kerana usahanya berserta para pejuangnya mempertahankan bandar tersebut daripada dimusnahkan dan ditakluki oleh tentera Israel.

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah juga memainkan peranan penting dalam membangkitkan kesedaran politik dan sosial dalam kalangan rakyat Mesir. Beliau mengecam lawatan Presiden Anwar Sadat ke Israel pada tahun 1977 dan menentang Perjanjian Camp David pada tahun 1979. Rentetan daripada itu Presiden Anwar Sadat meletakkan Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah dalam senarai teratas untuk ditangkap.

Beliau juga turut melakukan banyak kerja kebajikan seperti pembinaan Masjid An-Noor dI Abbasiya, Masjid Ar Rahman di Shubra Al-Khaimah dan banyak lagi masjid di bandar-bandar sekitar Terusan Suez termasuk juga sekolah-sekolah agama di samping membantu golongan yang memerlukan.

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah bersama Ismail Haniyeh pada 2012.

Beliau juga turut memainkan peranan penting dalam politik Islam di Palestin, Lubnan, Afghanistan dan negara-negara Islam dengan menimbulkan kesedaran betapa pentingnya kepentingan politik Islam untuk pembangunan ummah di samping menjadi juara kesedaran alam sekitar di wilayah Suez yang teruk tercemar akibat aktiviti ekonomi seperti dari industri minyak dan gas serta perkapalan.

Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah juga turut memainkan peranan penting ketika Arab Spring terutamanya di Mesir apabila menyertai penunjuk perasaan di Medan Tahrir, Kaherah yang menuntut peletakan jawatan Hosni Mubarak serta meminta tentera campur tangan untuk menyelamatkan Mesir.

Banyak lagi peranan dan jasa-jasa beliau yang menyumbang kepada kesedaran politik dan ummah di Timur Tengah selain dari Mesir. Pemergian Allahyarham Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah sememanganya ditangisi oleh umat Islam khususnya rakyat Mesir kerana jasanya yang begitu besar.

khalil
USTAZ MUHAMMAD KHALIL

Pada Ramadan yang mulia ini, marilah sama-sama kita doakan agar Allahyarham Syeikh Hafez Ali Ahmed Salamah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Begitu juga para alim ulama, cendiakawan dan agamawan begitu juga dengan orang-orang yang berjuang kerana jalan Allah SWT.

Tidak lupa juga doa buat Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Harun Taib, Tuan Guru Harun Din serta kepimpinan PAS terdahulu yang telah meletakkan jalan perjuangan kepada kita semua untuk mencari keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Moga-moga segala usaha mereka menjadi kenyataan. Al-Fatihah.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 8/5/2021

- Advertisement -