Penolakan saman pemula gagalkan kedengkian kepada PAS

- Advertisement -

PADA 2 April 2020, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri berkuatkuasa serta merta

- Advertisement -

Berikutan itu, pada 9 Disember 2020, dua penganut Kristian dari Sabah, Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian memfailkan saman pemula terhadap beliau di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam saman pemula ini, mereka memohon pengisytiharan bahawa Dato’ Seri Abdul Hadi telah menghasut dan tidak layak memegang jawatan dalam pemerintahan Malaysia, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Peliknya, tindakan menghasut yang didakwa dilakukan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi ini bukanlah satu tindakan baru tetapi adalah satu tindakan lama, iaitu kononnya melalui kenyataan yang diterbitkan dalam Harakah pada 18 Januari 2016.

Sepatutnya bila ada laporan polis dibuat kepada mana-mana pihak, dalam kes ini kepada Dato’ Seri Abdul Hadi, semua pihak perlulah meletakkan kepercayaan kepada pihak polis dan pendakwa raya untuk menyiasat dan membuat keputusan.

Bila tidak ada pendakwaan dibuat ke atas Dato’ Seri Abdul Hadi maka nyatalah bahawa tidak ada apa-apa perbuatan menghasut yang dilakukan oleh beliau di dalam kenyataan yang diterbitkan dalam Harakah pada 18 Januari 2016 tersebut.

Malang sungguh bila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak polis dan pendakwa raya serta membawa kes ini ke mahkamah untuk menggunakannya bagi menghalang Dato’ Seri Abdul Hadi dari memegang jawatan kerajaan.

Syukurlah bila Hakim Dato’ Akhtar Tahir membenarkan permohonan Dato’ Seri Abdul Hadi untuk membatalkannya dengan memutuskan bahawa saman itu tidak mempunyai ‘locus standi‘, remeh dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dapatan lain mahkamah ialah Dato’ Seri Abdul Hadi tidak menghasut serta Mahkamah Sivil tidak boleh digunakan untuk menguatkuasa undang-undang jenayah dan tidak boleh mengambil alih kuasa Pendakwa Raya dan Perdana Menteri.

Lebih menarik lagi adalah kenyataan Hakim Dato’ Akhtar bahawa jika ada pihak yang hendak dipersalahkan kerana menghasut adalah pihak yang menyaman sendiri kerana membangkitkan semula perkara lama dan menjadikannya isu baharu.

Saman pemula ini jelas merupakan satu manifestasi kepada kebusukan hati pihak tertentu yang sedaya-upaya mahu memburukkan imej PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi, termasuk dengan menghalang beliau dari memegang jawatan kerajaan.

Begitulah teruk sekali dengkinya pihak ini kepada PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi padahalnya PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi sendiri tidak pernah walau sekalipun cuba menghalang mana-mana pemuka Kristian dari memegang jawatan kerajaan.

Tahniah kita ucapkan kepada peguam-peguam yang mewakili Dato’ Seri Abdul Hadi, iaitu Yusfarizal Yussoff dan Adam Luqman Amdan, di atas kejayaan mereka memulihkan imej PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi yang cuba hendak dicemari ini.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 8/5/2021

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -