PAS tersisih pembahagian ahli majlis, ketua kampung di Johor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Johor memberi perhatian serius terhadap perkembangan muktakhir berkaitan pembahagian jawatan ahli majlis (AM) dan ketua kampung (KK) di seluruh negeri yang telah diluluskan oleh Menteri Besar.

Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin, berdasarkan kepada pelantikan AM yang terkini di Majlis Perbandaran Muar, MPP, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) tiada lantikan daripada wakil PAS seperti mana yang telah dipersetujui dalam perbincangan sebelum ini.

Katanya, sebelum itu, PAS Johor tidak dipanggil untuk mengadakan perbincangan bagi lantikan KK seluruh negeri yang menyaksikan PAS hanya diberikan sebanyak 36 KK yang mewakili hanya lima peratus KK di negeri itu.

- Advertisement -

“Apa yang berlaku ini memberikan isyarat yang salah dalam usaha memperkasa Muafakat Nasional di Johor khususnya, sejak dari mula penubuhan kerajaan baharu pada bulan Mac tahun lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook PAS Johor, semalam.

Beliau berkata, PAS Johor sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan Exco yang berkaitan, namun nampaknya ia tidak membuahkan hasil yang positif.

Tambahnya lagi, PAS Johor juga telah menggunakan platform mesyuarat MN untuk membawa hasrat yang akhirnya telah dipersetujui bersama namun hasilnya adalah sangat mendukacitakan.

Begitupun, tegas beliau, PAS Johor tetap berpegang kepada arahan Presiden PAS supaya terus memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional.

“Namun sekiranya perkara ini tidak diperbaiki, maka dibimbangi tindakan MB Johor ini akan mengeruhkan lagi keadaan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/5/2021

- Advertisement -