Kompaun COVID-19: Apa masalahnya?

- Advertisement -

TERLALU banyak polemik mengenai isu kompaun kesalahan COVID-19 sehingga ada yang katakan berlaku ‘double standard’. Mungkin penjelasan diperlukan mengenai kaedah dan status kompaun tersebut supaya ia lebih menjernihkan keadaan daripada membingungkan.

Kompaun kesalahan berkait SOP COVID-19 adalah diperuntukkan menurut Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Seksyen tersebut menyatakan dengan jelas bahawa kompaun yang boleh ditawar untuk individu ialah tidak melebihi RM10,000, manakala untuk badan korporat tidak melebihi RM50,000. [Gambar 1]

- Advertisement -

Kesalahan yang boleh dikompaun mengikut Seksyen 25 tersebut pula diperuntukkan di dalam Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Kompaun Kesalahan) 1993. Jadual 1 menyenaraikan kesalahan boleh kompaun tersebut.

Senarai Jadual 1 termasuklah apa-apa kesalahan yang dibuat di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang lain (senarainya panjang) yang dipinda dari semasa ke semasa. Jadual 2 pula merupakan spesimen Notis Kompaun yang perlu dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa kepada pesalah. [Gambar 5]

Jumlah kompaun

Saya akan buat perbandingan dengan kompaun yang biasa dikeluarkan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Seksyen 120(1) memperuntukkan dengan jelas kompaun dibenarkan tidak melebihi RM300. Spesimen yang biasa digunakan oleh pegawai penguatkuasaan adalah Borang 1, Peraturan Pengangkutan Jalan (Notis dibawah Subseksyen 53(1)) 2003.

Jumlah RM300 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 120(1) Akta 333 tersebut adalah lebih rendah daripada denda maksimum yang boleh dikenakan sekiranya kes tersebut dituduh di Mahkamah. [Gambar 2]

Sebagai contoh, sekiranya anda memandu melebihi had kelajuan, anda boleh didakwa di bawah Seksyen 40 Akta 333 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM2000. [Gambar 3]

Walau bagaimanapun, kesalahan memandu melebihi had kelajuan biasanya dikompaun RM300 sahaja. Maka saya boleh simpulkan bahawa tawaran kompaun haruslah dan pada kebiasaannya lebih rendah daripada denda maksimum sekiranya kes dibicarakan. Pendek kata, kalau tidak mahu panjang cerita, bayar RM300, kerana kalau mahu menunjuk pandai lawan di mahkamah, kemungkinan kena denda lebih tinggi daripada RM300 sentiasa ada.

Lihat pula kompaun di bawah Akta 342. Pada 5 Mac 2021, Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Recovery Movement Control)(No. 3) 2021, di bawah Peraturan 18 menyatakan bahawa denda maksimum untuk sebarang kesalahan COVID-19 (untuk mudah faham), adalah RM50,000, dinaikkan daripada RM1,000 sebelum ini.

Perhatikan bahawa ini adalah denda maksimum sekiranya seseorang itu dihadapkan ke mahkamah, dibicarakan dan diputuskan bersalah. Dalam masa yang sama, Seksyen 25 Akta 342 mengenai tawaran kompaun juga meletakkan jumlah maksimum kompaun yang sama, iaitu RM50,000 bagi badan korporat yang lakukan kesalahan. 

Soalnya di sini, kenapa denda maksimum dan kompaun maksimum adalah sama? Sepatutnya had kompaun adalah lebih rendah daripada denda maksimum sebagaimana yang saya terang dalam Akta 333. Ternyata Akta 342 gagal memberikan perincian dengan jelas mengenai perkara tersebut.

Notis kompaun

Notis Kompaun, Borang 1 untuk kesalahan trafik merangkumi 2 bahagian – 1. Arahan untuk hadir ke Mahkamah Majistret berdekatan untuk menjawab tuduhan kesalahan, 2. Tawaran kompaun yang boleh dibuat sebelum tarikh sebutan mahkamah. [Gambar 4]

Perhatikan bahawa Notis Borang 1 tidak mempunyai ruang untuk menyatakan jumlah kompaun yang akan dikenakan. Ia hanya menyatakan kesalahan dan tarikh sebutan kes di mahkamah. Jumlah kompaun akan ditentukan oleh orang yang diberikuasa nanti ketika pembayaran dibuat, atau selepas rayuan.

Kompaun pada maksud bahasanya ialah menyelesaikan, dan bersetuju membayar sejumlah wang supaya kes tidak didakwa di mahkamah. Jika kita bandingkan dengan Notis Kompaun Kesalahan COVID Akta 342, spesimennya mengandungi ruang untuk dinyatakan jumlah kompaun. Di sini kekeliruan bermula. [Gambar 5]

Soalnya, berapakah jumlah yang harus dikompaun? RM1,000, RM5,000, RM20,000 atau RM50,000. Yang pastinya had maksimumnya adalah RM50,000.

Pada 17 Mac 2021, Menteri Undang-undang telah membuat siaran media menyatakan garis panduan pengeluaran kompaun mesti diikuti. Beliau mengkategorikan kesalahan SOP COVID-19 kepada 3 kategori. [Gambar 6 & 7]

Kategori 1 adalah kesalahan serius seperti pegawai perubatan tidak lapor kes COVID kepada KKM, dan juga membuka perniagaan termasuk kelab malam. Kesalahan kategori ini dikenakan kompaun maksimum RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat.

Kategori 2 adalah kesalahan sederhana seperti memasuki kawasan PKPD. Kompaun dalam lingkungan RM3,000 ke RM4,000 dikenakan untuk individu, dan RM20,000 untuk syarikat.

Kategori 3 pula adalah kesalahan ringan seperti tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga penjarakan dan gagal mengimbas kod MySejahtera. Kompaunnya adalah RM1,500.

Garis panduan ini sepatutnya diikuti oleh pasukan penguatkuasaan dan tidak menawarkan kompaun secara semberono.

Kekeliruan penguatkuasaan

Di peringkat penguatkuasan, telahan saya ialah anggota penguat kuasa tidak jelas mengenai cara kompaun harus dikeluarkan. Apakah perlu menulis jumlah? Berapakah jumlah hendak ditulis? Kerana kompaun trafik yang biasa mereka keluarkan tidak perlu ditulis jumlah.

Maka pendekatan yang diambil oleh mereka di sesetengah kawasan adalah menulis jumlah kompaun maksimum yang diperuntuk dalam Akta 342. RM10,000 atau RM50,000.

Ada pihak yang menjawab bahawa Notis Kompaun RM50,000 adalah denda maksimum, dan bukannya pesalah perlu membayar jumlah itu. Pesalah perlu ke pejabat berkenaan dan membuat rayuan. Jumlahnya pasti lebih rendah. 

Kenyataan ini ada benarnya kerana kuasa menetapkan jumlah kompaun adalah terletak kepada individu tertentu dan bukannya semua penguat kuasa di jalanan. Individu inilah yang akan menilai rayuan pesalah dan memberikan pengurangan. Namun persoalan kenapa ditulis kompaun maksima itu masih mendatangkan kekeliruan. 

Pada hemat saya, polemik yang berlaku adalah kekeliruan kaedah mengkompaun semata-mata, dan bukannya ‘double standard’. Kerana Garis Panduan yang dikeluar oleh Menteri telah jelas. 

Burger dan colek

Kita belum pasti peniaga burger dan colek di Kelantan perlu membayar kompaun denda maksimum RM50,000 atau tidak. Amat tidak lojik sekiranya tawaran kompaun adalah sama jumlahnya dengan denda maksimum kesalahan tersebut sekiranya dibicarakan di mahkamah. 

Dan di sini terdapat beberapa perlanggaran. Kompaun maksima sekalipun ingin dikenakan kepada peniaga burger dan penjual colek, adalah RM10,000 sahaja kerana mereka adalah individu, dan bukan badan korporat. Ia bertentangan dengan Seksyen 25 Akta 342. Atas dasar ini sahaja, peniaga burger dan colek boleh lawan keesahan Notis Kompaun tersebut.

Kompaun setelah siasatan

Dalam kes Neelofa, kompaun dikeluarkan setelah siasatan terperinci dibuat. Jumlah spesifik dan bukan jumlah denda maksimum. Ini mungkin disebabkan ia mengikut kategori yang disebutkan oleh Menteri Undang-undang. Maka sebab itu jumlah maksimum tidak dikenakan. 

Saya akan katakan tidak adil jika akhirnya peniaga burger dan colek terpaksa benar-benar membayar kompaun RM50,000, namun saya memilih untuk tunggu dan lihat. Kecelaruan prosedur ini mungkin disebabkan Peraturan baru COVID-19 ini yang mungkin belum benar-benar diamati dan dihadami oleh pihak penguatkuasaan.

Apapun, lebih baik sekiranya Akta 342 memperuntuk dengan jelas jumlah kompaun berserta jenis kesalahan daripada membiarkannya terbuka secara umum. Ia pasti dapat elak kekeliruan dan polemik. Wallahu’alam.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -