Kasih sayang dan firasat sesama Mukmin

- Advertisement -

SUATU ketika pada zaman pemerintahan Saidina Umar, Saidina Ali bermimpi bersolat di Masjid Nabi dengan berimamkan Rasulullah S.A.W. Sesudah solat dan berwirid, seorang demi seorang Sahabat keluar dari masjid. Saidina Ali juga keluar. 

Di pintu masjid, Saidina Ali ditahan oleh seorang lelaki yang memberikannya beberapa tandan buah tamar sambil berpesan, ‘Ya Ali, kamu berikan tamar ini kepada Rasulullah untuk disedekahkan.’

- Advertisement -

Saidina Ali bawa masuk tamar itu ke dalam masjid lalu diberikan kepada Rasulullah. Rasulullah berjalan membawa tamar itu ke hadapan para Sahabat, mengoyak dan menyuapkannya ke mulut mereka. Itulah yang biasa dilakukan Baginda semasa hayatnya.

Saidina Ali mengikut di belakang. Apabila selesai Sahabat lain disuap, Rasulullah menyuapkan pula tamar ke mulut Saidina Ali. Kata Saidina Ali, itulah tamar yang paling sedap pernah dimakan sepanjang umurnya. Ali lalu meminta Rasulullah tambah lagi tamar untuknya.

Sebaik sahaja Rasulullah menyuapkan tamar kedua ke mulut Ali, Ali terjaga sebaik saja dengar azan berkumandang. Dalam tangisan teresak-esak kerana terlalu merindui Rasulullah, Ali bangun dan terus ke masjid.

Ketika itu, Saidina Umar sudah pun berada di masjid. Sesudah solat dan berwirid, ketika Ali mahu keluar dari masjid, beliau ditahan seorang lelaki yang memberikannya tamar minta disampaikan kepada Amirul Mukminin untuk disedekahkan.

Ali masuk semula ke dalam masjid dan memberikan tamar itu kepada Saidina Umar. Cerita pun berulang seperti dalam mimpi Ali. Di kesudahannya, Umar meyuapkan tamar ke mulut Ali dan seperti kepada Rasulullah, Ali memberitahu Umar supaya menambahkan lagi tamar untuknya yang terlalu sedap itu.

Umar berkata kepada Ali, ‘kalau Rasulullah S.A.W pun sudi menambah tamar untukmu, sudah tentu aku juga akan melakukannya.’ Ali kehairanan kerana kisah mimpinya itu belum pun diceritakan kepada sesiapa, bagaimana Umar boleh tahu?

Itulah keistimewaan orang beriman, diberikan kebolehan untuk berfirasat. Mesej sebenar daripada cerita ini adalah kisah kasih sayang yang harus jadi keutamaan bagi setiap orang beriman. Sebagai manusia biasa, kita tentunya berbeza pandangan, berbeza penilaian, berbeza pendapat dan kepentingan.

Namun atas dasar keimanan, tuhan yang sama, Rasul ikutan yang sama, Quran yang sama, kita harus tahu di mana harus untuk kita berbeza dan di mana pula kita seharusnya bersatu. Apa yang dimimpikan oleh Saidina Ali bukan sekadar mimpi tetapi itulah amalan kebiasaan Rasulullah S.A.W yang begitu mendalam kasih sayangnya kepada Sahabat, kepada umat Islam malah kepada yang bukan-Islam juga.

Imbas peristiwa Taif, bagaimana Baginda diserang, dibaling dengan batu dalam jarak sejauh lebih kurang 50 kilometer ketika berjalan keluar dari Kota Taif dengan di kiri kanan jalan berbaris orang yang diarahkan ketua mereka untuk membaling Baginda dengan batu, kayu dan tulang unta sehingga berdarah kakinya, penuh darah dalam kasutnya, datang malaikat minta izin untuk membalas perbuatan mereka, Rasulullah melarang.

Baginda sebaliknya berdoa kepada Allah dengan kata-kata yang bermaksud:

‘Ya Allah, kau tunjukkanlah jalan yang lurus kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.’

Rasulullah S.A.W tidak berdendam kepada orang yang memusuhinya, menyerangnya malah mencederakannya. Bukankah Rasulullah S.A.W itu contoh ikutan bagi kita. Dengan yang memusuhi lagikan dimaafkan dan didoakan yang baik, inikan pula sesama Islam! Bukan contoh itu sahaja, masihkah ingat pada kisah orang tua Yahudi buta yang selalu diberi makan oleh Rasulullah tetapi menyumpah seranah Baginda setiap hari?

Ingatlah! Dalam kita berdendam, di situlah terbuka ruang untuk Iblis Syaitan menyelinap. Apabila kita mendendami sesama Islam atas dasar kita berasa lebih Islam, apakah itu sebenarnya hak kita untuk menilai diri dan memastikan kita berada di jalan yang lurus?

Meneliti kisah-kisah teladan daripada Rasulullah S.A.W dan para Sahabat, apakah kita yakin bahawa jalan di mana kita berada sekarang, dengan akhlak dan sikap kita yang sedemikian, itu teladan daripada mereka?

Berdendam kesumat, membenci, memaki hamun, mengadu domba, apakah boleh membawa kita ke syurga? Muhasabah diri, reset minda, dan check up iman. Pandanglah dengan mata hati, nilaikan dengan naluri apa yang terpapar pada gambar ini, makna dan pengertiannya… apakah hati kita akan berasa sejuk atau semakin panas?

Ambil pengajaran daripada akhlak Ustaz Ebit Lew yang sering kali menyebut kasih dan cinta sesama Islam, juga sesama manusia. Marilah kita usaha contohi adab dan akhlak Nabi.

MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -