PIHAK berwajib wajar menyeragamkan segala pelaksanaan berkaitan SOP dan kompaun di semua peringkat supaya ia bukan sahaja adil kepada semua, bahkan dilihat adil dari segi pelaksanaannya.
Sejak akhir-akhir ini, timbul pelbagai komen dan kritikan berkaitan pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan oleh KKM. Umum mengetahui bahawa segala SOP tersebut bertujuan untuk mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya di negara kita.
Tindakan kompaun kepada mereka yang tidak mematuhi SOP wajar dikeluarkan agar menjadi pengajaran kepada semua pihak, namun biarlah dengan budi bicara yang sepatutnya melainkan bagi pesalah yang degil dan masih melakukan kesalahan yang sama.
Pihak berkuasa juga seharusnya menjadikan tempat kunjungan orang ramai seperti pusat hiburan, kilang, bazar dan pasar malam sebagai tumpuan kerana di sini lah mudah untuk berlakunya penularan virus COVID-19.
Dalam fasa memerangi wabak pandemik ini, kepercayaan rakyat kepada pemerintah wajar dijaga agar segala polisi dan tindakan pihak kerajaan dalam menstabilkan kembali ekonomi dan kesihatan rakyat di negara ini mendapat kerjasama yang baik daripada rakyat. Selain itu, segala pakej dan bantuan kepada rakyat dibimbangi akan tenggelam dek kerana tindakan pihak penguatkuasa yang menimbulkan kemarahan rakyat ini.
Undang-undang yang digariskan adalah untuk melicinkan segala perancangan yang dibuat, namun ia masih tertakluk kepada sifat manusiawi.
Terima kasih.
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
YB SENATOR USTAZ HAJI IDRIS AHMAD
Ahli Dewan Negara
Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 28/4/2021