
oleh Ms Afizah Salleh dan Dr Aspalilah Alias
Bulan Sya’ban sudah melabuhkan tirainya. Kini kita berada di bulan Ramadhan yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan dan masa untuk memberi tumpuan yang lebih kepada amalan khusus. Inilah masanya anggota badan kita terutamanya anggota perut diberi sedikit ruang kerehatan setelah 11 bulan berfungsi tanpa henti dalam sistem penghadaman.
Gastrik adalah perut atau dalam bahasa inggerisnya gastric. Ia adalah sejenis organ yang berfungsi sebagai tempat menyimpan makanan dan juga terlibat dalam proses penghadaman. Apabila mengalami keradangan istilah yang digunakan adalah gastritis. Keradangan perut boleh disebabkan oleh banyak faktor dan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu infeksi atau bukan infeksi.
Faktor bukan infeksi adalah lebih kerap terjadi dan ini termasuk tabiat merokok termasuklah vaping, minuman berkafein, pengambilan citrus food yang menyebabkan banyak penghasilan jus gastrik seperti buah tomato, limau dan nanas, pengambilan makanan pedas, ubat penahan sakit jenis NSAID – nonsteroidal anti inflammatory drugs seperti ponstan dan voltaren dan ubat cair darah seperti clopidogrel dan aspirin.
Manakala keradangan jenis infeksi boleh disebabkan oleh mana-mana virus dan bakteria tetapi ada sejenis bakteria yang sangat khusus berada di dalam perut dan boleh menyebabkan keradangan kronik kerana sifatnya yang boleh melindungi dirinya daripada serangan asid iaitu Helicobacter pylori. Infeksi ini boleh dikesan sama ada melalui kaedah secara langsung iaitu kewujudannya di dalam biopsi yang diambil atau secara tidak langsung dengan mengesan bahan kimia yang dirembeskan olehnya. Seperti bakteria lain rawatannya memerlukan antibiotic yang khusus untuk mengubatinya.
Ada dua komponen di dalam jus gastrik yang penting untuk proses penghadaman dan perlindungan. Pertama adalah asid hidroklorik yang dihasilkan oleh sel parietal yang terdapat di perut. Asid ini sangat penting untuk menyahkan bakteria yang masuk ke dalam perut bersama makanan dan juga menukarkan zat besi kepada bentuk yang boleh dihadamkan. Walau bagaimanapun penghasilan yang terlalu banyak apatah lagi dalam keadaan lapisan perut yang radang, asid ini boleh menyebabkan ulser atau luka.
Stress juga boleh meningkatkan penghasilan asid melalui salah satu reseptor yang terdapat pada sel parietal. Satu lagi komponen penting adalah mucus dan bikarbonat yang berfungsi untuk melindungi lapisan perut daripada kesan hakisan asid. Penghasilan mucus dan bikarbonat ini berkurang disebabkan oleh ubat-ubat penahan sakit jenis NSAID dan ubat cair darah dan juga apabila kurangnya aliran darah ke bahagian perut.
Berpuasa tidak menyebabkan gastritis atau menyebabkan seseorang tidak boleh berpuasa selama-lamanya. Dapatkan rawatan segera supaya keradangan ini boleh sembuh dan kemudian dapat berpuasa seperti biasa. Gastritis tidak tersenarai dalam penyakit yang tiada harapan untuk sembuh. Apabila mengalami simptom yang teruk mungkin ada kelonggaran untuk tidak berpuasa.
Keradangan jika dirawat dengan betul akan sembuh mungkin dalam masa seminggu atau 2 minggu. Selepas itu bolehlah berpuasa dan meneruskan makan ubat mengikut saranan doktor semasa sahur dan berbuka. Elakkan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan simptom menjadi lebih teruk seperti yang dijelaskan di atas.
Pastikan apa punca gastritis itu dan elakkan sebaik mungkin. Sesetengah orang mungkin perlukan pemeriksaan endoskopi untuk melihat jika ada jangkitan helicobacter pylori, ulser atau luka, asid reflux dan keradangan di bahagian hujung esofagus. Ini penting untuk mengetahui mengapa sakit berulang dan tidak sembuh sepenuhnya. Tabiat pemakanan juga perlu diubah iaitu makan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap. Ini bertepatan dengan pesanan junjungan besar kita.
Satu lagi penyakit yang boleh menyamai gastritis dan dirawat bertahun-tahun sebagai gastritis tetapi tidak sembuh adalah batu di dalam hempedu. Ramai pesakit sebenarnya menderita penyakit ini tetapi dirawat sebagai penyakit gastrik. Penyakit ini memerlukan ultrasound di bahagian abdomen untuk mendapatkan diagnosis. Rawatannya adalah pembedahan iaitu untuk membuang saluran hempedu dan batu yang ada di dalamnya.
Amatlah rugi jika kita tidak merawat penyakit ini dan hilang peluang untuk berpuasa Ramadhan, kesempatan yang hanya kita dapat sekali dalam setahun.Belum dapat dipastikan sama ada tahun berikut kita masih berpeluang masuk ke bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala berlipat ganda. Dengan niat dan kesungguhan insya allah mereka yang ada gastritis akan sembuh dan dapat berpuasa seperti biasa. Inilah masanya memberi kerehatan kepada perut yang diketahui punca pelbagai jenis penyakit. Allah memberi penyakit dan Allah jugalah yang mendatangkan kesembuhan dengan asbab usaha dan ubat yang diberikan.
Firman Allah SWT dalam Surah al Baqarah Ayat 168 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Ms Afizah Salleh adalah Pakar perunding Pembedahan Am di Hospital Pakar Annur dan Dr Aspalilah Alias adalah Pensyarah Anatomi di Fakulti Pergigian, USIM.











