Penduduk di hulu pun ramai mampu beli emas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pada hari pertama pembukaan kedai emas MZ Gold di Kuala Krai berjaya mencatat jualan bernilai lebih RM300,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Murtadhatumizi Mustapha, 27, berkata, perkembangan yang berlaku itu menggambarkan penduduk kampung juga mempunyai wang untuk membeli emas.

Katanya, empayar perniagaan emas MZ Gold diperluaskan di selatan Kelantan disebabkan permintaan penduduk di Kuala Krai begitu tinggi.

- Advertisement -

“Walaupun peringkat awal hanya sekadar memberanikan diri mengambil risiko untuk membuka kedai emas di kawasan itu, namun sebaliknya berlaku di mana mendapat sambutan luar biasa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

MZ Gold juga memiliki kedai emas pertama di Kelantan yang mula beroperasi September 2020 terletak di Jalan Temenggong.

Menurutnya beliau sedia menanggung risiko membuka kedai ketika pandemik Covid-19 belum lagi berakhir.

Malah katanya ketika itu ekonomi masih belum pulih sepenuhnya tentu memberi cabaran besar bagi melariskan perhiasan daripada emas dianggap ramai sebagai barangan mewah.

Namun MZ Gold memperuntukkan lebih RM5 juta bagi pembukaan kedai emas cawangan kedua di Kelantan iaitu di Kuala Krai.

Pembukaan rasmi diadakan baru-baru ini berikutan permintaan tinggi masyarakat kawasan berkenaan. Biarpun penduduk tinggal di hulu Kelantan, namun ramai memiliki wang bagi membeli perhiasan mewah.

“Satu permulaan yang baik bagi syarikat dan kami akan sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan di Kuala Krai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -