Selepas Zuhur berbondong ke Pejabat PAS Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Setiap kali Ramadan Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) menjadi tumpuan orang ramai. Mereka seakan menjadikan lokasi itu sebagai tumpuan wajib seusai solat Zuhur bagi mendapatkan bubur lambuk percuma.

Ia sebenarnya menjadi tradisi bagi Perhubungan PAS Perlis sejak 20 tahun lalu mengedarkan bubur lambuk setiap hari sempena Ramadan.

Malah bubur lambuk PAS disifatkan sebagai ‘legend’ kerana memiliki rasa sedap dan berbeza berbanding bubur lambuk di tempat lain.

- Advertisement -

Penyediaan bubur lambuk dikendalikan petugas KOMPAS Abdul Karim Mat Rejab, 73. Beliau tanpa rasa jemu mengolah resepi bagi menghasilkan bubur lambuk yang enak.

Lebih dikenali dengan panggilan Haji Karim menghasilkan adunan bubur lambuk sejak 31 tahun lalu.

Katanya bukan mudah untuk mencari resepi untuk menghasilkan bubur lambuk yang sedap dan enak.

“Sebelum ini saya mencuba pelbagai bahan termasuk menggunakan ikan parang, ayam dan udang sebagai bahan utama namun belum mendapat rasa yang disukai ramai,” katanya ditemui hari ini.

Bagaimanapun setelah mencuba pelbagai resepi, beliau akhirnya mendapat adunan resipi bubur lambuk dengan memasukkan campuran daging dan tulang lembu sebagai bahan utama.

Antara bahan lain yang digunakan bawang merah, bawang putih, serai, halia, rempah kurma, empat sekawan (bunga lawang, kayu manis, cengkih dan buah pelaga), jintan manis, daun pandan dan susu cair.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Padang Besar berkata, bubur mula dibungkus pada jam 1 tengah hari dan penduduk sekitar datang mendapatkannya selepas waktu Zuhur.

Kepakarannya memasak bubur lambuk diwarisi dariapda arwah emaknya. Pada 1950-an belum ada orang menghasilkan bubur lambuk di Perlis.

Emak Haji Karim ketika itu menghasilkan bubur kanji yang dimasak bersama isi udang segar dan lada hitam.

“Saya gemar memakan bubur kanji dan mula mencuba pelbagai resipi sehingga berjaya hasilkan bubur lambuk yang ada sekarang.

“Setiap hari kita memasak dua periuk bubur lambuk untuk diagih secara percuma kepada 900 penduduk sekitar Kangar dan kawasan berdekatan,” katanya.

Sementara itu pesara guru, Shuib Man, 59 berkata beliau memang tidak melepaskan peluang datang mengambil bubur lambuk di Pejabat PAS setiap tahun.

Katanya, boleh dikatakan setiap hari beliau datang ambil bubur di sini, setelah mengetahui keenakannya tiga tahun lalu.

Manakala Zulkifli Osman, 62, (foto atas) pula berkata selain rasanya yang sedap, ia membuka peluang untuk penduduk setempat bersedekah.

“Secara tidak lansung, kita juga boleh bersedekah kepada gerak kerja PAS melalui infak yang diberikan. Rasa bubur ini juga tidak berubah daripada dahulu sehingga sekarang,” katanya.

Oleh itu PAS Perlis mengalu-alukan orang ramai memberi sumbangan bagi menjayakan agihan bubur lambuk percuma.

Sumbangan boleh disalur kepada akaun Bank Islam 09010010005759 atas nama Perhubungan Pas Negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -