Ambil tindakan setimpal – Ir Khairil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap seorang majikan bukan Islam yang memukul dua pengawal peribadinya dengan sebatang rotan dan diacukan pistol yang didakwa tidak suka mereka menunaikan puasa.

Malah mengecam keras tindakan yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya menjadi pegangan kepada setiap lapisan rakyat Malaysia.

Ujar Ketua DPPM Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, beliau tidak menyangka di tahun 2021 masih berlaku perkara sedemikian.

- Advertisement -

“Masyarakat Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

“Sekiranya kita mengamalkan budaya sentimen pertembungan agama serta kaum yang sempit serta rendah akal budi seperti ini, rakyat Malaysia akan hidup dalam keadaan huru hara dan tidak tenteram.

“Islam mengajar kita untuk saling mengenali, saling menghormati serta saling lengkap-melengkapi meskipun kita berbeza latar belakang agama dan bangsa,” ujarnya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Dua pengawal peribadi yang dipukul majikan mengalami pendarahan beku dan lebam pada badan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Beliau berharap masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama mengekang dan menghentikan perkara seumpama ini daripada berulang lagi.

Semalam tular di media sosial satu salinan laporan polis dari mangsa yang dipercayai pengawal peribadi dipukul sehingga cedera dan menerima ugutan bunuh daripada majikan mereka.

Menurut salinan laporan polis itu, kejadian berlaku di rumah majikan mangsa di Bukit Tinggi, dekat sini pada Selasa, 13 April iaitu pada hari pertama umat Islam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Susulan itu, polis menahan empat individu dipercayai suspek dan direman di Mahkamah Klang pada hari ini. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -