Bulan Ramadan pemangkin kemenangan ummah

- Advertisement -

SUASANA politik tanah air semakin tegang dan panas. Jalan peneyelesaian dan perdamaian yang walau diusahakan seakan tiada ditemui sedang pihak musuh mencari-cari peluang untuk merampas kembali kuasa sekali gus mengulangi mimpi ngeri 22 bulan di bawah telunjuk mereka.

Politik perpaduan ummah yang diunjurkan dapat menyatukan kuasa politik umat Melayu demi memartabatkan agama dan bangsa selain membawa kesejahteraan, keadilan dan kemakmuran buat semua rakyat Malaysia pasang-surut penerimaannya.

Muslihat penjajaran baru yang kononnya mahu melibatkan PKR dan DAP dilambung-lambung sedangkan anasir ini tiada langsung minat atau punya keinginan untuk memperjuangkan agenda perpaduan ummah. Mereka ini sekadar bernafsu untuk kembali berkuasa, malanglah jika ada yang mahu membina jajaran bersama mereka sedangkan mereka inilah punca maruah umat Melayu Islam terancam dan dipertikai sebelum ini.

- Advertisement -

Punca konflik sebenarnya bukannya kerana musuh kuat atau berpengaruh, tetapi lebih kerana kegagalan membina persefahaman dan permuafakatan sesama kuasa politik Melayu Islam yang sepatutnya merupakan tonggak kepada kekuatan politik perpaduan ummah itu sendiri. Perbezaan dan pertikaian diperbesar-besarkan sehingga ia menggerhanai matlamat utama yang dituntut Agama iaitu bersatu padu di bawah naungan Allah S.W.T.

Dulu bila kita susah dan tertekan mudah kita berlapang dada dan bersatu hati menghadapi musuh yang sama malangnya bila kita dikurniakan sedikit rezeki kuasa dan kekuatan, kita kembali lupakan kawan-kawan, kita menganggap kekuatan yang jatuh ke riba itu hasil kekuatan kita semata-mata dan kita melupakan bantuan dan sumbangan pihak lain.

Besar sungguh ujian Allah pada mereka yang berjuang di jalan-Nya dan cukup malang jika kita kecundang dan gagal menguruskannya sehingga akhirnya musuh yang kita tentang kembali memanjat takhta kuasa. Sia-sialah segala yang pernah dibina dan diusahakan bersama. Marah, kecewa dan berputus-asalah rakyat khasnya umat Melayu Islam yang selama ini memberikan kepercayaan dan keyakinan pada kita.

Bagaimana mungkin kita lupa semasa ranap robohnya mahligai Kerajaan PH dahulu, atas nama membela maruah agama dan bangsa, kita pakat bersetuju mengenepikan perbezaan melahirkan formula membina sebuah mahligai baru atas persetujuan bersama. Umno-BN, PAS, BERSATU dan beberapa rakan lain termasuklah dari Borneo, bingkas menegakkan sebuah kerajaan baru menggantikan Kerajaan PH yang mungkir janji itu.

Ketika itu setiap kita ikhlas berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, mengenepikan perbezaan dan sengketa yang lama semata-mata kerana mahu mengembalikan kestabilan dan keamanan dan membela nasib rakyat. Kita yang bersama bersetuju menamakan calon PM dan dari parti mana, kita yang bersetuju jumlah dan bilangan perwakilan dalam Kabinet, semuanya tertib melalui musyawarah dan permuafakatan. Rakyat cukup kagum dan menghormati kematangan kita.

Sepatutnya dari peringkat peralihan itu kita menuju pula ke tapak yang kekal. Kita sudah boleh membina kekuatan baru dengan restu rakyat. Akan tetapi malangnya bila musuh berjaya ditundukkan kita mula lupa dan mula kembali mengutamakan agenda masing-masing. 

Elemen musyawarah dan permuafakatan semakin dipinggirkan yang terserlah adalah tuntutan dan desakan sehingga akhirnya bermusuhan sesama sendiri sedang ini kerajaan kita bersama. Suasana sebegini cukup tidak menguntungkan mana-mana pihak selain musuh yang bersedia melompat kembali ke tengah gelanggang untuk mendapatkan kuasa. 

Kita tidak boleh berpecah, perpaduan ummah mesti menggemblengkan tenaga semua pihak bukannya berasing-asingan sehingga akhirnya menghadapi pertandingan tiga atau empat penjuru dan kembalilah kita merempat di bumi sendiri. Ia tidak mustahil kerana ia pernah berlaku kecuali kita memaksa diri kita melupakannya.

Bolehkah kita menyelamatkan keadaan? Masih adakah peluang kita melihat penyatuan umat Melayu Islam dalam negara menjaid realiti? Segalanya mungkin jika kita kekal berligar atas orbit Islam. Kalau semua parti Umno, PAS, BERSATU khasnya ikhlas mahu menyelamatkan agama, bangsa dan negara, bukannya terdorong untuk kepentingan peribadi, kelompok dan seumpamanya kita perlu pastikan kita tidak tergelincir keluar dari orbit Islam tadi.

Dan bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah inilah masanya yang paling sesuai untuk kita bermuhasabah, memohon pertolongan Allah S.W.T, agar menyatupadukan sesama kita dan elakkan dari pecah-belah yang hanya akan memusnahkan masa depan bersama.

Ambillah al-Quran sebagai petunjuk yang memimpin dan membimbing kita, berbincang dan bermesyuarahlahberpedomankan petunjuk yang nyata. Petunjuk itu yakni al-Quran sewajarnya membangkitkan keinsafan dan menyedarkan kita yang mana hak dan perlu dituntut serta diperjuangkan dan yang mana batil yang perlu ditentang serta dijauhi sebagaimana firman Nya yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil.”

(al-Baqarah: 185)

Tiada guna untung secupak tetapi rugi segantang. Tiada guna menang sorak tapi kampung halaman habis tergadai. Perpaduan umat Melayu Islam dalam kontek politik Malaysia dewasa ini suka tidak suka memerlukan gabungan dan gandingan PAS, Umno dan BERSATU. Tiada satu parti dapat bergerak bersendiri dengan meninggalkan yang lain kecuali kita mengundang musuh kembali berkuasa. 

Masing-masing punya kekuatan dan kelemahan. Cantum dan satukan kekuatan itu demi memastikan ummah keseluruhannya tidak lemah dan terhina lagi. Allah S.W.T selain menurunkan hukum tertinggi kita yakni al-Quran di bulan Ramadan ini, Allah juga memenangkan Islam dalam pelbagai peristiwa di bawah kepimpinan Rasulullah S.A.W iaitu model dan contoh ikutan kita. Bermula dengan kejayaan di dalam Perang Badar dengan firman Nya yang bermaksud:

“Sungguh Allah S.W.T telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri- Nya”.

(Ali-Imran: 123)

Dan kemuncaknya adalah persitiwa Pembukaan Kota Makkah atau Fatthu Makkah dengan firman Nya yang bermaksud:

“Apabila telah datang pertolongan Allah S.W.T dan kemenangan.” 

(an-Nasr: 1)

Semoga kekuatan dan barakah bulan Ramadan ini memancarkan kemenangan buat Islam di tanah air tercinta.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -