PAS Pulau Pinang ucap tahniah kepada Ahmad Fuzi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak berikutan pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri kelapan.

Pesuruhjayanya, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pelantikan Ahmad Fuzi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat tepat pada masanya.

- Advertisement -

Ini, katanya kerana beliau merupakan mantan Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri setelah berkhidmat di kementerian tersebut sejak 1972 dan kini sebagai Ketua Setiausaha Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) serta menjawat beberapa jawatan lain di pelbagai organisasi dalam dan luar negara.

“PAS Pulau Pinang yakin dengan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini akan digunakan sebaiknya untuk membawa negeri ini lebih gemilang dan cemerlang,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada masa yang sama, ujarnya PAS negeri mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih kepada Tun (Dr) Abdul Rahman Abbas di atas jasa serta bakti beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ketujuh yang telah berkhidmat selama 20 tahun.

“Semoga Allah senantiasa merahmati dan memberikan kesihatan yang baik kepada Tun.

“Selamat bertugas dan berkhidmat kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8 yang baharu bermula 30 April ini dan semoga Allah memudahkan urusan serta dapat menjalankan tugas dengan baik demi agama dan negara,” ujarnya lagi.

Majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad Fuzi sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kelapan akan diadakan pada 30 April di Istana Negara.

Manakala Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri akan berlangsung di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, 1 Mei ini.

Ahmad Fuzi yang juga anak jati Pulau Pinang dilahirkan pada 8 Januari 1949. – HARAKAHDAILY 14/4/2021

- Advertisement -