Menteri PN boleh jadi model sumbang gaji dana wakaf

Tajuk berita Harakahdaily, semalam.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah kerajaan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) bagi meningkatkan pengurusan wakaf disambut pelbagai pihak.

Malah mereka menganggap usaha itu sepatutnya sudah lama dilakukan secara serius selaras dengan majoriti penduduk Muslim di negara ini.

- Advertisement -
Dr Zulkeefle Yaacob

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulkeefle Yaacob turut menyokong penuh usaha tersebut bagi memperkasakan ekonomi umat Islam.

Katanya, langkah seperti itu sepatutnya sudah lama diberi perhatian serius kerajaan bagi mengembalikan semula kecemerlangan umat Islam.

“Saya menyokong penuh langkah tersebut. Lagi pun saya sudah potong gaji untuk zakat dan wakaf,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan 2021 sebagai langkah kerajaan memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, peranan wakaf terus diperkasa untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan memberi banyak manfaat kepada masyarakat, tanpa mengira agama, kaum dan keturunan.

Menurutnya juga peranan institusi berkaitan wakaf di Malaysia boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada negara-negara Islam lain bagi mengembalikan kegemilangan wakaf.

Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr Tuan Mohd Shamsuddin Tuan Nor juga berkata, usaha untuk memperkasakan sistem wakaf sepatutnya diberi perhatian kerajaan sejak dahulu lagi.

Katanya, sistem wakaf memberi banyak kebaikan kepada negara dan rakyat terutamanya umat Islam bagi mengembleng semula ekonomi ummah.

Dr Che Hamdan Mohd Razali

Pensyarah kanan UiTM Kampus Raub, Dr Che Hamdan Mohd Razali pula berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh menjadi model dengan mewakafkan gaji menteri kepada dana wakaf.

“Anggota kabinet PN dicadangkan mewakafkan sebahagian gaji mereka terlebih dahulu sebagai mencerminkan kepimpinan melalui tauladan,” katanya.

Selain itu beliau melihat jumlah menteri kabinet yang ramai dan ada yang dianggap kurang berfungsi dengan baik sewajarnya dikaji semula.

Begitu juga kata beliau langkah perlu diambil bagi mengurangkan jumlah pegawai yang mengikuti rombongan menteri ke luar negara sebagai langkah menjimatkan dana kerajaan. – HARAKAHDAILY 14/4/2021

- Advertisement -