Ternak lalat mampu jana pendapatan golongan B40

BACHOK: Siapa sangka lalat sebelum ini dianggap serangga pengotor dan menyebarkan penyakit, kini mampu memberi pendapatan kepada penduduk khususnya golongan B40.

Ain Akuakultur Sdn Bhd tampil dengan kerjasama Fakulti Sains Universiti Malaysia (UM) membangunkan projek sebagai alternatif lambakan sisa organik dan makanan dapur.

Pengurus Besarnya, Mohd Akif Baharum berkata, Bachok dipilih sebagai jajahan pertama bagi melaksanakan projek perintis yang memberi peluang penduduk tempatan berminat menceburi bidang itu.

Advertisement

“Selain larva lalat boleh mengurangkan sisa organik daripada kediaman, kita juga boleh wujudkan peluang pekerjaan serta menambah pendapatan sampingan golongan kategori B40.

“Kita cuba menguar-uar kepada penduduk dalam penternakan lalat BSF. Kita akan adakan sesi penerangan kepada penduduk yang berminat,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan wang dan makanan kepada asnaf di Dun Pantai Irama hari ini.

Penternakan lalat jenis tentera hitam atau black soldier fly (BSF) dibuat bagi mendapatkan larva yang akan diproses dalam bentuk tepung untuk dijadikan pallet makanan ayam, itik dan ikan.

Mohd Akif juga berkata, sesi penerangan mengenai kaedah penternakan akan diadakan serta memberikan input permulaan berkaitan peralatan dan bantuan telur lalat untuk diternak penduduk.

“Kita berhasrat membuka kilang bagi memproses makanan haiwan daripada larva lalat BSF. Kita dalam proses perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk kembangkan projek tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2021